PUTRAJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan canggih.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerjasama itu merangkumi empat teras utama, iaitu pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan bersama dan pelaksanaan operasi bersama.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan keperluan agensi penguatkuasaan menyesuaikan strategi berikutan perubahan modus operandi jenayah yang semakin banyak memanfaatkan teknologi digital.
“Inisiatif JIM dan MCMC merupakan langkah tepat untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua agensi. Sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan potensi jenayah yang semakin menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dengan disaksikan Saifuddin serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Saifuddin berkata perkembangan teknologi telah mengubah bentuk dan kaedah jenayah, termasuk pengedaran dadah serta jenayah komersial yang kini menggunakan platform digital dan transaksi dalam talian.
Pada masa sama, keluasan sempadan negara turut meningkatkan cabaran penguatkuasaan sehingga memerlukan kerajaan terus memperkukuh aset, perundangan dan keupayaan agensi berkaitan.
“Jenayah semakin kompleks dan canggih. Kerajaan serta agensi penguatkuasaan mesti lebih maju daripada pelaku jenayah.
“Jika kita ketinggalan dua atau tiga langkah, kita tidak akan dapat menanganinya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerjasama berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang didorong perkembangan teknologi.
Menurut beliau, kegiatan jenayah hari ini tidak lagi terbatas kepada sempadan fizikal kerana sindiket turut menggunakan rangkaian komunikasi dan platform digital.
“Hakikatnya, jenayah hari ini bukan lagi terbatas kepada sempadan fizikal. Sindiket penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan identiti turut melibatkan rangkaian komunikasi dan platform digital,” katanya.
Beliau berkata MoU itu akan memperkukuh perkongsian maklumat dan risikan bagi membantu mengesan individu, rangkaian komunikasi serta modus operandi sindiket jenayah.
“Saya berharap kerjasama ini diterjemahkan kepada tindakan nyata. Perkongsian maklumat perlu berlaku dengan lebih pantas, risikan dimanfaatkan secara lebih berkesan dan penyelarasan siasatan diperkukuh,” katanya.



