Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Selangor panas, majoriti perwakilan mahu Ketua Bahagian serah tugas

KUALA SELANGOR – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor pada 26 Julai lalu bertukar panas apabila majoriti perwakilan menyokong usul supaya Ketua Bahagian menyerahkan tugas kepada Naib Ketua Bahagian selepas membantah tindakan pengurusan bahagian menolak usul berkenaan daripada kertas persidangan.

Daripada 363 perwakilan yang hadir, seramai 252 menyokong usul tersebut, manakala hanya 12 mengundi menolaknya.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Dato’ Seri Dr. Haji Abu Hassan, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor itu menyaksikan perwakilan mempersoalkan keputusan pengurusan bahagian yang tidak menerima beberapa usul cawangan berkaitan kedudukan Ketua Bahagian.

Dokumen Kertas Persidangan K.P.04/2026 menunjukkan usul tersebut disenaraikan di bawah tajuk “Usul-usul Yang Ditolak”, termasuk beberapa usul daripada cawangan yang mencadangkan Ketua Bahagian menyerahkan tugas atau kuasa kepada Naib Ketua Bahagian.

Menurut sumber yang menghadiri mesyuarat itu, tindakan pengurusan bahagian menolak usul berkenaan tidak dipersetujui oleh ramai perwakilan sehingga perkara tersebut dibangkitkan semula ketika sesi perbahasan.

Perbahasan yang berlangsung dalam suasana tegang itu akhirnya membawa kepada keputusan untuk mengundi usul yang menggesa Ketua Bahagian yang uzur menyerahkan tugas kepada Naib Ketua Bahagian.

Keputusan itu memperlihatkan sokongan jelas majoriti perwakilan terhadap cadangan berkenaan walaupun ia sebelum ini ditolak daripada dimasukkan ke dalam kertas persidangan.

Selain usul mengenai penyerahan tugas Ketua Bahagian, dokumen persidangan turut merekodkan satu lagi usul yang ditolak, iaitu cadangan mewujudkan semula jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Setakat ini, UMNO Negeri Selangor masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan undian tersebut atau pendirian rasmi mengenai usul yang mendapat sokongan majoriti perwakilan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat