KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyeru semua pihak agar menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta memberi ruang kepada kerajaan negeri baharu untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menerusi satu kenyataan media, beliau berkata keputusan pilihan raya perlu diterima dengan hati terbuka dan penuh reda, sambil mengulangi pendirian yang disuarakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bahawa semua pihak wajar menghormati suara rakyat.
Nurul Izzah turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang diberikan mandat oleh rakyat serta kepada kerajaan negeri yang bakal memikul amanah mentadbir Negeri Sembilan.
Menurut beliau, persaingan politik mempunyai ruang dan waktunya, namun selepas keputusan dimuktamadkan, tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan amanah dan khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata setiap wakil rakyat yang dipilih kini memikul tanggungjawab untuk mewakili seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
“Keperluan rakyat tidak mengenal warna parti,” katanya sambil menegaskan bahawa wakil rakyat perlu berlaku adil, mendengar suara rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua.
Dalam kenyataan sama, Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, petugas bilik gerakan, sukarelawan, pemerhati, penceramah, petugas media, anggota keselamatan serta semua pihak yang terlibat menjayakan proses demokrasi sepanjang tempoh kempen.
Beliau turut berharap proses demokrasi yang berlangsung dengan aman dan tertib menjadi asas kepada usaha membina masa depan yang lebih baik, selain mendoakan agar setiap pihak terus diberikan petunjuk dalam memikul amanah kepada rakyat.



