CYBERJAYA, 2 Ogos – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu agar terus istiqamah serta memperkukuh perjuangan meskipun berdepan keputusan yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Mohamad terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera AMANAH di semua peringkat yang disifatkan telah bertungkus-lumus membantu kempen calon-calon PH sepanjang pilihan raya berlangsung.
Beliau berkata semangat pengorbanan yang ditunjukkan anggota parti, termasuk jentera dari negeri lain yang hadir membantu secara sukarela, membuktikan kekuatan sebenar AMANAH yang lahir daripada keikhlasan dan keyakinan terhadap perjuangan parti.
Dalam masa sama, Mohamad berpandangan kebangkitan semula politik identiti dan sentimen sempit menjadi antara cabaran utama yang dihadapi dalam landskap politik semasa.
Menurut beliau, naratif yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu dengan melabel parti tertentu sebagai ancaman kepada Islam dan Melayu terus dimainkan sehingga mempengaruhi sebahagian pengundi.
Mohamad berkata fenomena itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut disaksikan di beberapa negara lain dengan kemunculan fahaman kanan yang lebih ekstrem.
Bagaimanapun, beliau yakin gelombang politik sedemikian tidak akan berkekalan kerana rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir dan integriti sesebuah parti.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan penyokong AMANAH supaya tidak terjebak dengan politik kebencian, sebaliknya terus mendekati rakyat melalui pendekatan yang sederhana, berhemah dan berpaksikan gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin.
Mohamad turut menegaskan perjuangan parti itu akan diteruskan dengan penuh keyakinan dan tanggungjawab demi masa depan negara, sambil merakamkan sekali lagi penghargaan kepada seluruh jentera AMANAH atas komitmen yang ditunjukkan sepanjang PRN Negeri Sembilan.


