PASIR GUDANG, — Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyeru warga Sabah yang menetap dan bekerja di Johor supaya terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Beliau berkata, sokongan itu penting bagi memastikan kestabilan politik Johor terus terpelihara, sekali gus membolehkan negeri itu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Menurut Salleh, Johor sejak sekian lama menjadi antara pusat ekonomi utama negara yang membuka ruang pekerjaan dan perniagaan kepada ribuan warga Sabah yang berhijrah ke negeri itu untuk mencari rezeki serta membina kehidupan.
“Johor telah menyediakan sumber rezeki dan pelbagai peluang kepada ramai anak Sabah. Kerajaan yang stabil amat penting bagi memastikan negeri ini terus maju, menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Pengundi Sabah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tasek Seri Alam dan kawasan flat berhampiran di Bandar Seri Alam, hari ini.
Sehubungan itu, Salleh menyeru warga Sabah yang berdaftar sebagai pengundi di Johor agar keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada BN.
Katanya, kestabilan politik yang berterusan akan membantu Johor mengekalkan momentum ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti Sabah di Johor.
Salleh turut merakamkan penghargaan kepada warga Sabah di Johor atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negeri dan berharap mereka terus menyokong dasar yang menekankan kestabilan, pembangunan serta kemakmuran bersama.



