Kos rawatan pelancongan perubatan di Kelantan lebih murah berbanding di Kuala Lumpur – Exco Pelancongan

PASIR PUTEH – Rawatan yang disediakan di hospital bagi pelancong dari luar negara yang datang ke Kelantan dari Indonesia untuk tujuan perubatan mempunyai kualiti yang sama seperti di Kuala Lumpur tetapi rawatan di sini melibatkan kos yang lebih murah.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata dalam kalangan pelancong dari Indonesia yang datang ke Kelantan kebanyakannya adalah tujuan untuk mendapatkan rawatan dalam kategori pelancongan perubatan.

“Bagi pelancong Indonesia, tujuan mereka bercampur-campur, ada yang datang untuk rawatan perubatan kerana kita promosikan pelancongan perubatan dengan pakej yang sangat bagus, standard kita pun sama dengan yang ada di Kuala Lumpur tetapi kosnya lebih murah,” katanya kepada Suara TV.

Selain itu, bagi pelancong dari Indonesia yang masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga ada pakej untuk melancong ke Thailand dan kemudian ke Terengganu untuk ke pulau-pulau, katanya.

Menurut beliau, mereka diberikan pakej dengan pilihan untuk melancong di Kelantan dan kemudian ke selatan negara Thailand sebelum selepas itu pergi ke Terengganu.

“Katakanlah seminggu mereka berada di Kelantan, mungkin dua tiga hari di sini (Kelantan), dua hari di selatan Thai dan dua hari di Terengganu berkunjung ke kawasan pulau-pulau, itu pakej yang ada,” kata Datuk Kamarudin.

Penerbangan terus luar negara datang ke Kelantan bermula dari Singapura pada Oktober 2025 dengan penerbangan dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang murah Scoot iaitu anak syarikat Singapore Airlines.

Kemudian, pada 16 Jun tahun lepas penerbangan terus antara Kota Bharu dan Jakarta pula bermula.

Mengulas lanjut tentang tarikan pelancongan yang menjadi pilihan ramai di Kelantan, beliau berkata sebab popular untuk pelancong-pelancong datang ke negeri Kelantan ialah makanan.

“Kita punya makanan bukan sahaja sedap tetapi makanan di sini ada banyak jenis untuk makan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

“Kebetulan jika datang ketika musim buah-buahan ia akan bertambah menarik kerana ada beraneka buah-buahan di sini,” katanya.

Semalam, beliau hadir ke Pasir Puteh di Padang Terbang Tok Bali untuk merasmikan program Tok Bali RC Aerofest 2026 iaitu acara perhimpunan dan pertunjukan permainan pesawat kawalan jauh berlangsung selama dua hari iaitu 3 dan 4 Julai.

Seramai kira-kira 120 orang juruterbang alat kawalan jauh dan peminat hobi berkenaan dari seluruh negara berkumpul dan menerbangkan pesawat masing-masing yang datang dengan pelbagai jenis seperti jet dan helikopter.

Dalam ucapannya, Datuk Kamarudin turut mengumumkan kawasan berkenaan akan dikekalkan sebagai lapangan untuk peminat hobi kapal terbang kawalan jauh serta satu landasan terbang yang lebih elok akan dibina untuk keselesaan penggemar hobi berkenaan.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat