Oleh Zihan Zari
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mencipta sejarah apabila menerima tiga pasangan kembar dan tujuh pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai pelajar baharunya pada Minggu Transformasi Siswa (MTS) yang telah berlangsung di Kampus PUO, dekat sini baru-baru ini.
Mereka antara 2,182 yang mendaftar sebagai pelajar baharu kali ini, yang akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pendidikan tinggi tersohor ini bagi Sesi 1:2026/2027.
Tiga pasangan kembar itu, Nur Fatin Shazana Mohd Fadzil dan Muhammad Aqil Taqiuddin Mohd Fadzil dari Manong, Perak; Varshaan A/L Rames dan Varmhan A/L Rames dari Taiping, Perak; serta Sharacaniswarran A/L Balu dan Shanmugiswaran A/L Balu dari Rawang, Selangor.
Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang memilih PUO sebagai destinasi pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menambahkan kemeriahan dan keunikan sesi kemasukan pelajar baharu bagi sesi ambilan ini.
Kesemua 2,182 pelajar baharu telah memilih PUO sebagai destinasi pengajian mereka sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti TVET yang ditawarkan oleh institusi berprestij itu.
Kehadiran pelajar bersama ibu bapa dan penjaga dari seluruh negara yang hadir bagi melengkapkan proses pendaftaran sebelum memulakan sesi pengajian. Suasana kampus turut meriah dengan kehadiran sukarelawan dan petugas yang membantu melancarkan urusan pendaftaran.
Dalam perkembangan sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu dan mengucapkan tahniah kerana memilih PUO sebagai institusi untuk melanjutkan pengajian.
Menurut beliau, kemasukan seramai 2,182 pelajar baharu merupakan manifestasi kepercayaan masyarakat terhadap peranan PUO dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi kehendak industri semasa.
“Selamat datang ke PUO, Home of TVET Champions. Kami berbangga menerima kehadiran 2,182 pelajar baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga besar PUO.
“Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu, membina sahsiah serta mengembangkan potensi diri agar menjadi graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,”katanya.
Bagi sesi kemasukan kali ini, pelajar baharu akan mengikuti pengajian dalam 18 program yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang strategik.
Program tersebut ialah Diploma Perakaunan (DAC), Diploma Kewangan Islam (DIF), Diploma Kewangan (DFI), Diploma Pengajian Perniagaan (DPM), Diploma Pengurusan Peruncitan (DRM), Diploma Teknologi Maklumat (DIT), Diploma Kejuruteraan Perkapalan (DKP), Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) (DEP), dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) DTK.
Selain itu, Diploma Kejuruteraan Awam (DKA), Diploma Seni Bina (DSB), Diploma Geomatik (DGU), Sijil Khas Pembinaan (KPB), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) (DAD), Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan) (DPU) serta Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM).
Kepelbagaian program yang ditawarkan mencerminkan komitmen PUO dalam menyediakan pendidikan TVET berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan, selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara.
Selain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, PUO turut menyediakan pelbagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan dan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan graduan holistik yang memiliki kemahiran teknikal dan insaniah yang seimbang.
Pihak pengurusan PUO berharap semua pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia sepanjang tempoh pengajian bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing dan seterusnya menjadi graduan TVET yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Mengenai Politeknik Ungku Omar (PUO)
Politeknik Ungku Omar (PUO) yang ditubuhkan pada tahun 1969 merupakan politeknik pertama di Malaysia dan antara institusi TVET yang terulung di negara ini.
Berstatus Politeknik Premier, PUO menawarkan pelbagai program pengajian dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perdagangan, perkapalan, seni bina dan bidang strategik lain yang memenuhi keperluan industri serta agenda pembangunan negara.
Sebagai peneraju pendidikan TVET, PUO turut diiktiraf sebagai ‘APEX Polytechnic’, selaras dengan aspirasi untuk menjadi institusi TVET unggul yang memacu kecemerlangan akademik, inovasi, penyelidikan, keusahawanan dan kolaborasi industri di peringkat nasional serta antarabangsa.
PUO yang dikenali sebagai Home of TVET Champions terus mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Terbaharu, PUO berjaya merangkul gelaran Juara Keseluruhan MALPTAAC-17 buat kali kelapan, sekali gus membuktikan kecemerlangan pelajarnya bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam aspek kepimpinan, kesukarelawanan, kesukanan dan pembangunan sahsiah.
Dengan lebih lima dekad pengalaman dalam melahirkan modal insan berkualiti, PUO komited untuk menyediakan pendidikan TVET yang relevan, inklusif dan berimpak tinggi melalui ekosistem pembelajaran yang berteraskan teknologi, inovasi dan keperluan industri.
Selaras dengan slogan ‘Engineering Futures’, PUO terus memperkasa bakat masa hadapan untuk menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.-SUARA.TV



