SEREMBAN, – Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau menegaskan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Raja Haji Abdul Rahim Yasin masih merupakan Undang Luak Rembau yang sah.
Mereka turut mendakwa penzahiran Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22 tidak sah kerana tidak melalui proses adat yang ditetapkan.
Mewakili Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau, Dato’ Lelo Wangsa Badrusham Ma’ruf berkata, pihaknya akan terus mempertahankan Abdul Rahim Yasin sebagai Undang Luak Rembau kerana pelantikannya dibuat mengikut adat yang diadatkan.
“Kami sebagai Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau akan terus memperjuangkan adat yang telah diadatkan bagi menegakkan serta mempertahankan Undang yang telah dilantik secara sah, iaitu Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Raja Haji Abdul Rahim Yasin.
“Kami mewakili seluruh Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau menafikan pelantikan Encik Hassan sebagai Undang Luak Rembau.
“Kami menafikan pelantikan tersebut sekeras-kerasnya kerana pelantikan itu tidak langsung menurut adat yang telah diadatkan oleh pihak Luak Rembau,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertahankan kedudukan Abdul Rahim Yasin sebagai Undang yang sah serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan adat Negeri Sembilan terus dipelihara.
Dalam perkembangan sama, wakil Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau memaklumkan satu surat bantahan rasmi akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Majlis Raja-Raja Melayu, dengan sesalinan kepada Peguam Negara.
Surat itu akan mengandungi bantahan terhadap penzahiran Undang baharu di Luak Rembau yang didakwa tidak mematuhi proses adat, selain memohon perkara tersebut diberi perhatian oleh pihak berkenaan.
Terdahulu, Hassan Ab Hamid menerima perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam istiadat rasmi di Istana Besar Seri Menanti pada 27 Jun lalu.
Bagaimanapun, Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau terus mempertikaikan penzahiran tersebut dengan alasan ia tidak melalui proses pemilihan mengikut adat Luak Rembau, sekali gus menegaskan Abdul Rahim Yasin kekal sebagai Undang yang sah.



