JOHOR BAHRU, 4 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan mengenai Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang didakwa tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat serta pelabur.
Onn Hafiz berkata, beliau sedar dirinya bukan bertaraf Perdana Menteri, namun berpandangan setiap kenyataan oleh pemimpin nombor satu negara perlu berasaskan fakta yang tepat.
Menurutnya, agak tidak sesuai apabila Perdana Menteri memberikan gambaran bahawa Pelan Induk JS-SEZ masih perlu menunggu persetujuan Singapura atau ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.
“Hakikatnya, Pelan Induk JS-SEZ ini adalah dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, kenyataan Anwar yang seolah-olah menggambarkan pelan induk itu masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat dan memerlukan tandatangan Perdana Menteri kedua-dua negara adalah tidak tepat.
Beliau menegaskan, perkara itu dibangkitkan bukan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual.
Katanya, pelancaran Pelan Induk JS-SEZ juga perlu dipercepatkan bagi memberi kepastian dan keyakinan kepada pelabur.
“Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ, di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia,” katanya.
Onn Hafiz turut menyifatkan kenyataan yang tidak tepat berhubung JS-SEZ boleh memberi kesan kepada rakyat Malaysia, Bangsa Johor serta pelabur yang telah dan berpotensi melabur dalam zon ekonomi berkenaan.
“Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik, tetapi lebih merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dalam membuat kenyataan yang tidak tepat,” katanya.


