KUALA LUMPUR -Langkah kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi pada ketika ini adalah satu langkah yang tepat dan sememangnya melegakan rakyat yang telah lama menanggung kesan kenaikan kos pengangkutan dan harga barang.
Menurut Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, apa sahaja usaha yang dapat mengurangkan beban rakyat wajar disokong tanpa mengira siapa yang melaksanakannya.
Namun katanya, persoalan yang sukar dielakkan ialah mengapa langkah seperti ini tidak dilaksanakan lebih awal?
“Pada Jun 2024, kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter dengan alasan rasionalisasi subsidi dan keperluan mengekang ketirisan. Ketika itu, harga minyak mentah Brent berada pada purata sekitar USD82 setong. Hari ini, harga Brent juga berada sekitar USD80–82 setong, tetapi kerajaan mampu pula menurunkan harga diesel bersubsidi.
“Jika harga minyak dunia berada pada lingkungan yang hampir sama, apakah sebenarnya faktor yang berubah?
“Sebab itulah pada 10 Jun 2024, saya menyifatkan kenaikan diesel tersebut sebagai satu tindakan yang maha terkutuk kerana kesannya dirasai terus oleh rakyat, peniaga kecil, petani, nelayan dan sektor pengangkutan. Jika alasan utama pada waktu itu ialah untuk mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan subsidi, mengapa mekanisme pengesahan menggunakan kad pengenalan seperti yang dilaksanakan hari ini tidak diperkenalkan sejak awal?
“Adakah kerajaan ketika itu tidak mempunyai pilihan lain, atau kerajaan baru sekarang terfikir bahawa terdapat kaedah yang lebih baik untuk menyasarkan subsidi tanpa menghukum majoriti rakyat terlebih dahulu? soal Fadli.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan, ketika pembangkang membangkitkan perkara ini pada tahun 2024, kami dituduh tidak memahami ekonomi dan kononnya tidak memahami keperluan subsidi bersasar.
“Namun perkembangan hari ini menunjukkan bahawa terdapat pilihan dasar lain yang boleh dipertimbangkan.
“Oleh itu, rakyat berhak bertanya sama ada Malaysia sedang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang mempunyai dasar yang konsisten dan berpandangan jauh, atau sebuah kerajaan yang sering mengubah pendekatan mengikut keadaan semasa.
“Jika pada paras harga minyak dunia yang hampir sama kerajaan boleh membuat keputusan yang berbeza, maka yang berbeza hanyalah waktunya ; dulu masih jauh dengan pilihan raya, sekarang pilihan raya sudah hampir, itu sahaja,” katanya.


