Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus melebarkan rangkaiannya sebagai antara rangkaian kedai emas tempatan yang berkembang pesat apabila merasmikan pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi. Pembukaan cawangan baharu itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluaskan akses masyarakat terhadap pemilikan emas di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingannya sebagai aset bernilai untuk jangka panjang.
Majlis pelancaran yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu dihadiri oleh barisan pengurusan syarikat, ahli-ahli Seri Semantan Privilege Club (SPC), rakan strategik, pelanggan setia serta wakil media. Kehadiran tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat menjadi bukti kepercayaan yang semakin kukuh terhadap jenama Kedai Emas Sri Semantan.

Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Encik Mohd Hafizal bin Mohd Mahmood, dalam ucapan perasmiannya berkata pembukaan cawangan ke-16 itu bukan sekadar menambah bilangan premis perniagaan, malah melambangkan satu perjuangan yang dibina atas dasar kepercayaan, kesabaran dan usaha berterusan sejak syarikat ditubuhkan.
Beliau berkata, apa yang disaksikan pada hari ini bukan sekadar pembukaan sebuah kedai emas, sebaliknya merupakan simbol kepada harapan agar lebih ramai rakyat Malaysia memahami bahawa emas bukan hanya perhiasan semata-mata, tetapi aset sebenar yang mampu melindungi nilai kekayaan serta menjadi benteng kewangan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Menurut beliau, pemilihan Bandar Baru Bangi sebagai lokasi cawangan baharu dibuat selepas syarikat melihat kawasan tersebut mempunyai pertumbuhan penduduk yang pesat serta tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan membeli dan menyimpan emas. Faktor itu memberi keyakinan kepada syarikat bahawa Bangi mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pasaran utama Kedai Emas Sri Semantan.
Mohd Hafizal menjelaskan bahawa walaupun cawangan Shah Alam masih mencatatkan prestasi jualan yang sangat memberangsangkan, pembukaan cawangan Bangi bertujuan memudahkan pelanggan di kawasan sekitar Kajang, Bangi, Nilai, Seremban dan Melaka yang sebelum ini sanggup melakukan perjalanan jauh ke Shah Alam untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan syarikat.

Beliau menegaskan bahawa pembukaan cawangan baharu bukan bertujuan bersaing dengan mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab untuk memperluaskan pendidikan kewangan kepada masyarakat melalui pemilikan emas. Menurutnya, apabila seseorang membeli dan menyimpan emas dengan ilmu serta kefahaman yang betul, mereka bukan sahaja melindungi nilai aset, malah sedang membina masa depan kewangan yang lebih stabil untuk diri sendiri dan keluarga.
Sempena pembukaan cawangan Bangi, Kedai Emas Sri Semantan turut menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pelanggan termasuk potongan harga RM20 serta peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta bagi pembelian yang memenuhi syarat sepanjang tempoh promosi. Menurut beliau, promosi seperti ini merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan kepada syarikat sejak awal penubuhannya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Hafizal mendedahkan bahawa syarikat menyasarkan pembukaan antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini. Selepas Bangi, syarikat dijadualkan membuka cawangan ke-17 di Kemaman sebelum meneruskan pengembangan ke Sungai Petani, Kedah.
Beliau berkata, setiap cawangan yang dibuka setakat ini menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan berjaya menyumbang kepada peningkatan hasil syarikat. Malah, pertumbuhan pendapatan Kedai Emas Sri Semantan dijangka meningkat melebihi 60 peratus tahun ini hasil daripada pembukaan rangkaian cawangan baharu di seluruh negara.
Menurut beliau lagi, syarikat turut membuat pelaburan yang besar bagi memastikan setiap premis menawarkan kemudahan terbaik kepada pelanggan. Secara purata, nilai pelaburan bagi sebuah cawangan dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta bergantung kepada lokasi dan keperluan operasi, manakala setiap cawangan memulakan operasi dengan sekurang-kurangnya 10 kakitangan.

Selain memperluaskan rangkaian perniagaan, Kedai Emas Sri Semantan juga bakal memperkukuhkan operasi pengeluarannya menerusi pembukaan kilang emas milik syarikat di Puncak Alam yang dijangka beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Kilang itu akan memperkenalkan konsep lebih terbuka apabila pelanggan berpeluang melihat sendiri proses penghasilan emas, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kualiti produk yang ditawarkan.
Mohd Hafizal turut menjelaskan bahawa antara kekuatan utama syarikat ialah program Seri Semantan Privilege Club (SPC) yang kini mempunyai lebih 180,000 ahli di seluruh negara. Program tersebut membolehkan pelanggan mengumpul mata ganjaran melalui setiap transaksi pembelian, penjualan atau rujukan pelanggan baharu sebelum menukarkannya kepada baucar untuk mendapatkan emas. Menurut beliau, inisiatif itu memberi nilai tambah kepada pelanggan kerana mereka bukan sahaja membeli emas, malah berpeluang memperoleh ganjaran yang boleh digunakan untuk memiliki lebih banyak emas pada masa hadapan.
Mengakhiri ucapannya, Mohd Hafizal merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan, ahli SPC, rakan niaga dan seluruh warga kerja Kedai Emas Sri Semantan yang menjadi tunjang kepada kejayaan syarikat sehingga berjaya berkembang kepada 16 cawangan di seluruh negara. Beliau berharap pembukaan cawangan di Bandar Baru Bangi akan menjadi pemangkin kepada usaha syarikat untuk terus memperkasakan budaya simpanan emas dalam kalangan masyarakat, sekali gus merealisasikan aspirasi Kedai Emas Sri Semantan untuk muncul sebagai “Syurga Emas Preloved Nombor Satu di Malaysia” yang dipercayai dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.



