KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai asas sokongan Melayu yang kukuh dan kekal sebagai antara aset politik utama Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan dapatan Merdeka Center National Public Opinion Survey bagi tempoh 12 Mac hingga 9 April 2026 yang mengukur tahap kepuasan responden Melayu terhadap beberapa pemimpin utama negara.
Menurut Tun Faisal, Muhyiddin mencatat kadar kepuasan sebanyak 49 peratus, sekali gus meletakkan beliau di kedudukan kedua tertinggi selepas Khairy Jamaluddin yang memperoleh 62 peratus.
Katanya, angka itu juga menunjukkan Muhyiddin mengatasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencatat 45 peratus, selain Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebanyak 41 peratus, Rafizi Ramli sebanyak 36 peratus dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebanyak 31 peratus.
“Jurang bersih Muhyiddin ialah positif enam mata, iaitu 49 peratus puas hati berbanding 43 peratus tidak puas hati.
“Ini menunjukkan beliau masih mempunyai asas sokongan Melayu yang kukuh walaupun tidak lagi memegang jawatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal berkata, dapatan itu juga memberi gambaran bahawa Muhyiddin mendapat penilaian lebih baik daripada Anwar dalam kalangan responden Melayu yang dikaji.
Menurutnya, walaupun Anwar kini memegang jawatan Perdana Menteri, beliau merekodkan 45 peratus kadar puas hati dan 51 peratus tidak puas hati.
“Ini bermakna Muhyiddin memperoleh penilaian lebih baik daripada Perdana Menteri semasa dalam segmen pengundi Melayu,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Muhyiddin sebagai wajah penting dalam blok pembangkang apabila kadar kepuasan terhadap bekas Perdana Menteri itu masih sedikit lebih tinggi berbanding Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mencatat 48 peratus.
Tun Faisal berkata, Muhyiddin juga mempunyai kelebihan ketara berbanding Zahid dan Rafizi dari segi persepsi pengundi Melayu.
Katanya, Zahid mencatat kadar ketidakpuasan tertinggi sebanyak 60 peratus, manakala Rafizi pula merekodkan sentimen negatif bersih.
“Daripada data ini, Muhyiddin boleh dianggap sebagai antara pemimpin nasional yang paling diterima oleh pengundi Melayu, berada dalam kelompok teratas bersama Khairy Jamaluddin.
“Lebih signifikan, beliau memperoleh penarafan lebih baik daripada Perdana Menteri semasa dan beberapa pemimpin kerajaan lain,” katanya.
Menurut Tun Faisal, dapatan tersebut menunjukkan pengaruh dan kredibiliti politik Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu masih kekal relevan dan kompetitif walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan.
Sumber dapatan itu merujuk kepada Merdeka Center National Public Opinion Survey, Perception towards Economy, Leadership & Current Issues bagi tempoh 12 Mac hingga 9 April 2026, khususnya data “Leaders’ Approval Ratings Among Malay Respondents”.



