KUALA LUMPUR- Syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan menawarkan kepakaran untuk membekalkan misil ATMACA serta penukaran sistem konfigurasi kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), susulan pembatalan perolehan misil anti-kapal (NSM) dari syarikat Norway.
Menurut laporan Utusan, jurucakap Roketsan berkata, komitmen berkenaan sejajar dengan penglibatan mereka dalam pembekalan sistem dan peluru berpandu sama untuk kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 TLDM yang bakal diterima Malaysia pada penghujung 2027.
Katanya, Roketsan juga bersedia untuk membekalkan semua sistem yang diperlukan mengikut tahap keserasian dan keperluan operasi serta sistem pengurusan tempur LCS TLDM.
“Sebagaimana perolehan sistem peluru berpandu dan pelancar ATMACA untuk kapal LMS TLDM, kami bersedia untuk membekalkan semua sistem yang serasi dengan sistem tempur dan misi kapal bagi projek LCS ini,” katanya.
Program pembangunan ATMACA bermula pada 2009 bagi memenuhi keperluan peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) untuk Tentera Laut Turkiye sebagai pengguna utama.
Ujian pelancaran pertama ATMACA dilaksanakan dari TCG Kinaliada pada 3 November 2019.
Selepas beberapa siri ujian dalam pelbagai senario, termasuk pelancaran tanpa penggunaan sistem kedudukan global (GPS) serta operasi dalam persekitaran peperangan elektronik yang mencabar, peluru berpandu tersebut berjaya melepasi semua ujian.
Dalam pada itu, Roketsan turut menegaskan, hubungan erat antara Turkiye dan Malaysia menjadi asas kepada kerjasama pertahanan yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
“Sebagai cerminan hubungan kerjasama dan persahabatan yang terjalin, kami akan terus memberikan keutamaan tertinggi dalam menyokong Malaysia dari setiap aspek.
“Ini termasuk proses perolehan ATMACA untuk menggantikan NSM yang dibatalkan sebelum ini,” katanya.



