WASHINGTON- Iran mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan dagang selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap beberapa sasaran di negara itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh stesen televisyen kerajaan Iran, ibu pejabat Khatam al-Anbiya berkata, penutupan laluan laut strategik itu susulan apa yang disifatkannya sebagai ketidakamanan di rantau itu.
Ia memberi amaran bahawa “sebarang pergerakan” melalui selat itu akan menjadi sasaran.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat berikutan “pencerobohan Amerika” dan serangan AS baru-baru ini ke atas kawasan di wilayah Hormozgan selatan Iran.
Markas Pemerintahan Bersama Tertinggi Tentera Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba melalui laluan strategik berkenaan akan ditembak.
Terdahulu, tentera AS mengesahkan ia melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Iran untuk hari kedua berturut-turut.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata serangan yang bermula pada jam 5.15 petang waktu New York itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Iran.
Tidak lama selepas itu, media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di selatan negara itu berhampiran Selat Hormuz.
Letupan dilaporkan kedengaran di bandar pelabuhan Bandar Abbas, Pulau Qeshm serta bandar Minab dan Sirik.
Sumber Iran mendakwa beberapa lokasi di Qeshm, Kargan dan Sirik terkena serangan peluru berpandu musuh.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas AS menyerang Iran susulan insiden sebuah helikopter Apache miliknya ditembak jatuh.
Perkembangan itu menunjukkan ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak walaupun mereka sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April lalu.
Presiden AS, Donald Trump, berkata negaranya akan terus meningkatkan tekanan ke atas Iran sehingga satu perjanjian damai dicapai.
“Kami menyerang mereka semalam dan kami akan menyerang mereka lagi hari ini,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
Kementerian Luar Iran pula menuduh AS menyerang infrastruktur awam.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata serangan berkenaan bertujuan memaksa Iran kembali ke meja rundingan.
Dalam perkembangan sama, Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) melaporkan satu delegasi dari Qatar tiba di Tehran bagi membincangkan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik berkenaan. – AGENSI



