Bersatu tak senang Pas jemput pasukan Reset Hamzah sertai program- Tuan Ibrahim harap silaturahim tak putus

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu bukan bermaksud memutuskan hubungan dan silaturahim.

Jelas beliau, keputusan ini dibuat bagi memberi ruang kepada Pas dan Bersatu menentukan hala tuju parti masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain.

“Walaupun kerjasama politik terhenti, persahabatan dan ukhuwah tidak seharusnya terputus.

“Pengalaman kerjasama Pas dengan Bersatu sebelum ini memperlihatkan wujudnya pelbagai kesukaran dan kekangan, khususnya apabila Pas berusaha menjemput Ahli Parlimen atau pimpinan daripada pasukan Datuk Seri Hamzah Zainudin ke program-program anjuran Pas.

“Sebagai contoh, tindakan Pas Melaka menjemput Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati, dalam program Pas tidak disenangi oleh rakan-rakan daripada Bersatu,” dedah Tuan Ibrahim.

Justeru kata beliau, jika jemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi jika ia melibatkan pasukan yang dikenali sebagai Reset untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional (PN).

“Selain itu, usaha untuk menyatukan parti-parti lain seperti Berjasa, Pejuang dan Perkasa ke dalam PN turut menemui jalan buntu akibat bantahan Bersatu.

“Mungkin Bersatu khuatir penerimaan parti-parti ini akan membuka ruang kepada bekas pimpinan mereka untuk menyelinap masuk melalui parti-parti tersebut.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Tambahan pula, tindakan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpin Bersatu yang menyerang Pas secara terbuka, semakin kerap berlaku,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang Pahang menyatakan, Pas akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura.

“Hasil kajian dan mesyuarat yang dibuat, Majlis Syura telah mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

“Maka, setelah melalui perbincangan yang panjang, Pas membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu

“Kesepakatan mendukung keputusan parti ini terzahir melalui laungan takbir yang bergema di dalam dewan mesyuarat sebaik keputusan tersebut diumumkan,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, keputusan ini bukan bermaksud Pas utamakan permusuhan.

Jelas Tuan Ibrahim, penghentian kerjasama politik ini merupakan ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara.

“Saya berharap agar kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat