KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa, beliau tidak dijemput untuk menyertai parti baru ditubuhkan Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu BERSAMA di sebalik statusnya sebagai salah seorang penyokong kuat ahli politik terbabit.
Pada masa sama Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau menghormati hak dan keputusan diambil bekas Timbalan Presiden PKR serta Ahli Parlimen Pandan berkenaan.
“Saya tak diajak. Mula-mula dia kata (nak umum) hala tuju, saya tak tahu dia buat parti baru (tapi) kita hormatlah.
“Dia nak buat parti sendiri terpulang pada dia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Seremban hari ini, lapor Malaysiakini, pada Rabu
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata Rafizi ada hak untuk menentukan apa yang perlu dilakukannya dalam politik termasuk menubuhkan parti baru.
“Semua orang nak buat parti sekarang,” katanya.
Aminuddin juga memberitahu, seseorang ahli politik menubuhkan parti lain bukanan sesuatu yang baru bahkan ia turut melibatkan Umno dan serpihannya.
Antaranya, kata Aminuddin, ialah kemunculan Pas dan Semangat 46.
Justeru, katanya, apa yang berlaku sekarang adalah perkara biasa termasuk untuk PKR yang telah melalui sejarah panjang sejak ia muncul lebih 20 tahun lalu.
Aminuddin juga tidak menolak kemungkinan BERSAMA sedikit sebanyak memberi kesan kepada PKR apabila segelintir kecil ahli mengikut jejak Rafizi.



