Kenyataan hina sahabat nabi berpotensi ganggu ketenteraman awam, cetus perpecahan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Briged Negaraku Ross Razeq Rosli menzahirkan kebimbangan serius terhadap kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menyentuh isu akidah serta kedudukan sahabat Nabi tanpa sandaran hujah yang sahih.

Beliau menegaskan bahawa sebarang kenyataan berkaitan agama Islam perlu berlandaskan ilmu, dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis, serta adab dalam berhujah, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan menjaga keharmonian masyarakat.

“Perkara melibatkan agama bukan ruang untuk kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.

“Apatah lagi jika ia menyentuh sahabat Nabi, ia perlu dijelaskan dengan hujah yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ross Razeq turut menegaskan bahawa kenyataan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan perpecahan boleh tertakluk kepada peruntukan undang-undang negara.

“Antara yang berkaitan ialah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghina atau melukakan perasaan agama dengan niat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Seksyen 298A Kanun Keseksaan turut memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana perbuatan atau kenyataan yang menyebabkan atau cuba menyebabkan perpecahan, kebencian atau ketidakharmonian atas dasar agama, yang boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun,” tegasnya.

Beliau turut merujuk Seksyen 505 Kanun Keseksaan, yang berkaitan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam atau mengganggu ketenteraman masyarakat.

Sehubungan itu, Ross Razeq menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik, agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama demi menjaga perpaduan, keharmonian serta kestabilan negara.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman jahiliyah.

Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat