KUALA LUMPUR, – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group terus memperkukuhkan agenda transformasi korporat apabila secara rasmi mengumumkan penubuhan dua anak syarikat baharu, VFive Healthcare dan VFive Energy, sebagai sebahagian daripada strategi memperluaskan penglibatan syarikat dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak masa depan.
Langkah strategik itu dilihat selari dengan perubahan landskap ekonomi global yang kini semakin dipacu oleh industri kesihatan, teknologi hijau dan tenaga lestari.
Menurut VFive Group, penubuhan kedua-dua entiti baharu tersebut juga merupakan kesinambungan kepada pelan pengembangan agresif syarikat yang sebelum ini turut meneroka sektor pembangunan hartanah dan konsesi bagi mempelbagaikan portfolio strategik syarikat.
Pengumuman itu dibuat sempena Sesi Townhall VFive Group yang berlangsung di Wisma VFive Group hari ini dengan penyertaan seluruh warga kerja syarikat termasuk kakitangan di cawangan lain secara maya.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Hj Mohd Syafiq Abdullah berkata, penubuhan VFive Healthcare dan VFive Energy bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi langkah strategik jangka panjang untuk membina nilai baharu yang mampu memberi impak kepada ekonomi, industri dan kesejahteraan masyarakat.
“VFive melihat sektor kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui sebagai antara industri masa depan yang mempunyai potensi pertumbuhan sangat besar, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan berkualiti, pembangunan lestari serta agenda peralihan tenaga hijau di peringkat domestik dan global,” katanya.
Beliau berkata, masa depan sesebuah organisasi tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya memerlukan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan global serta meneroka sektor strategik baharu yang lebih mampan.
Menurut beliau, VFive Group juga komited membangunkan model perniagaan yang bukan sahaja memberi nilai komersial kepada syarikat, malah menyumbang kepada agenda pembangunan negara khususnya dalam aspek kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi baharu dan pembangunan lestari.
Penubuhan VFive Healthcare dijangka memberi fokus kepada pembangunan ekosistem kesihatan moden termasuk penyelesaian penjagaan kesihatan, kesejahteraan serta teknologi berkaitan industri perubatan dan kesihatan.
Sementara itu, VFive Energy akan memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian tenaga lestari sejajar dengan aspirasi negara memperkukuhkan agenda kelestarian serta peralihan tenaga hijau.
VFive Group optimis langkah transformasi tersebut akan membolehkan syarikat terus berkembang sebagai syarikat Bumiputera progresif yang kompetitif dalam landskap perniagaan semasa serta berupaya muncul sebagai pemain strategik dalam sektor masa depan negara.



