KUALA LUMPUR, 7 Mei — Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) petang ini yang memberi fokus kepada isu kos sara hidup, ekonomi negara, kestabilan politik dan perpaduan nasional.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh sekretariat IPR, mesyuarat yang melibatkan 12 anggota gabungan itu berpandangan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan menangani masalah kemiskinan, peluang pekerjaan berkemahiran untuk graduan serta cabaran ekonomi semasa.
Kenyataan itu menyebut kegagalan kerajaan hari ini telah membuka ruang kepada satu “gagasan baru dan wadah penyatuan politik yang segar” untuk membangunkan semula Malaysia yang makmur dan sejahtera.
“IPR merasai denyutan nadi rakyat yang hilang keyakinan terhadap keupayaan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan peluang pekerjaan yang berkemahiran untuk graduan dan anak muda,” menurut kenyataan tersebut.
Gabungan itu turut mendakwa kerajaan gagal membina perpaduan nasional yang tulen selain wujudnya ketidaktentuan hala tuju ekonomi negara serta dakwaan “mematikan suara demokrasi rakyat”.
Sehubungan itu, IPR mengumumkan penganjuran Konvensyen Rakyat pada 27 Jun depan di Kuala Lumpur yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,200 perwakilan.
Menurut kenyataan berkenaan, konvensyen itu akan membahaskan pelbagai isu rakyat dengan fokus kepada ekonomi rakyat, politik dan tadbir urus serta integrasi nasional.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Azmin Ali selaku sekretariat IPR.



