SEREMBAN, – Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengumumkan pendirian berkecuali dan tidak menyertai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga ADUN Labu menjadi wakil rakyat kedua daripada blok Perikatan Nasional (PN)–Bersatu mengambil pendirian sama selepas ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad.
Mohamad Hanifah berkata pendirian itu dibuat susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
Beliau turut menyifatkan pendirian UMNO di peringkat nasional dan Negeri Sembilan ketika ini tidak konsisten serta berpotensi mengelirukan rakyat.
“Pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hanifah berkata sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri akan datang.
Pendirian Ketua Pembangkang itu dilihat memberi tamparan kepada usaha menukar kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus menunjukkan tidak semua wakil pembangkang bersedia menyokong gerakan menyingkirkan Aminuddin.



