Armizan dakwa Warisan cuba padam kesilapan besar 2019 dalam tuntutan 40 peratus hasil cukai

PAPAR,— Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mendakwa Warisan cuba memadamkan kesilapan besar kerajaan negeri pimpinannya pada 2019 berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, usul persendirian ADUN Kapayan di Sidang DUN Sabah baru-baru ini lebih bermotif politik, termasuk untuk meletakkan Warisan sebagai kononnya pejuang utama MA63.

Menurut beliau, penolakan usul tersebut dibuat atas kuasa dan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, bukan bermaksud Dewan atau Kerajaan Negeri menolak perjuangan hak 40 peratus.

Katanya, persepsi bahawa penolakan usul itu bermakna perjuangan 40 peratus ditolak perlu diperbetulkan kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor konsisten menuntut hak itu sama ada di dalam atau luar DUN, termasuk di mahkamah.

“Kerajaan Negeri tegas, hak 40 peratus adalah hak berpelembagaan yang wajib ditunaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, pendirian kerajaan negeri turut diperjelaskan dalam Sidang DUN terkini termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah yang menjelaskan perkembangan rundingan pemberian khas berdasarkan data pungutan cukai.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya daripada RM600 juta kadar semasa kepada RM3 bilion setahun pada peringkat awal.

“Bukan tahun depan, tapi Sabah mahu dilaksana segera,” katanya.

Dalam masa sama, Armizan mendakwa Warisan cuba mencipta naratif bahawa apabila DUN atau ADUN kerajaan tidak menyokong usul ADUN Kapayan, maka perjuangan 40 peratus kononnya ditolak.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang bergerak agresif menuntut hak tersebut dan tidak masuk akal untuk ADUN kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang disifatkannya hanya mengelirukan rakyat.

Menurut Armizan, terdapat dua kesilapan besar Warisan pada 2019 yang perlu dijawab parti itu.

Pertama, katanya, kerajaan Warisan pernah menyebut di DUN pada Ogos 2019 bahawa tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63 termasuk hak 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan ke mahkamah.

Kedua, beliau mendakwa kerajaan Warisan melalui kelulusan Kabinet Negeri ketika itu mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan hanya berjumlah RM53.4 juta.

Armizan menyifatkan tindakan itu sebagai amat cuai kerana membelakangkan kepentingan negeri.

Katanya, sekiranya semakan kadar baharu pemberian khas belum dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sehingga Sidang DUN akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN penyokong kerajaan diketuai ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah, untuk membawa usul berkaitan hak 40 peratus ke DUN.

Beliau berkata, usul itu bukan sahaja bagi menegaskan semula pendirian dan tuntutan Sabah, tetapi juga untuk merekodkan secara rasmi tindakan kerajaan Warisan pada 2019.

Ini termasuk, katanya, membentangkan minit Mesyuarat Kabinet Negeri Warisan dan surat-surat antara kerajaan Warisan dengan Kerajaan Persekutuan yang membawa kepada persetujuan kadar hanya RM53.4 juta.

“Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

Armizan berkata, ADUN Kapayan tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri pimpinan Hajiji akan memperjuangkan kadar berbilion ringgit, bukan hanya RM53.4 juta seperti didakwa pernah dipersetujui Warisan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil perhatian serius terhadap permintaan Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan Persekutuan hari ini telah memutuskan dalam Jemaah Menteri, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyebut secara terbuka dan rasmi di Parlimen pada 12 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana terkandung dalam Perkara 112C dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat