SHAH ALAM,— Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham digantung selama dua hari daripada menghadiri Sidang Dewan Negeri Selangor bermula hari ini selepas mempertikaikan keputusan Speaker yang tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan.
Hilman berkata, keputusan penggantungan itu dibuat oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San selepas beliau mempertikaikan tindakan Speaker yang tidak membenarkannya mengajukan soalan tambahan berhubung isu sumber tenaga boleh diperbaharui.
Menurut beliau, soalan lisan berhubung perkara itu telah dijawab oleh Exco Kerajaan Negeri, namun beliau tidak dibenarkan mengemukakan soalan tambahan selepas jawapan tersebut diberikan.
“Saya telah dihukum oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Lau Weng San dengan penggantungan selama dua hari daripada Sidang Dewan Negeri bermula hari ini.
“Speaker menghukum saya kerana saya mempertikai keputusan Speaker yang tidak membenarkan saya untuk mengajukan soalan tambahan setelah soalan lisan saya berhubung ‘Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui’ dijawab oleh YB Exco Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hilman turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Speaker yang disifatkannya sebagai bersikap ala “diktator” kerana didakwa menghalang beliau dan beberapa Ahli Dewan Negeri lain daripada bercakap demi kepentingan rakyat Selangor.
Katanya, isu yang mahu dibangkitkan bukan soalan politik, sebaliknya berkaitan sumber tenaga boleh diperbaharui yang penting dibahaskan ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
“Soalan saya bukan soalan politik. Soalan saya tentang ‘Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui’ yang amat penting untuk dibahaskan pada hari ini tatkala kita berhadapan krisis global dan mahu mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil.
“Isu ini penting demi kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata, Dewan Negeri Selangor sepatutnya menjadi lambang keunggulan demokrasi di negeri itu dan ruang wakil rakyat membawa suara rakyat.
Namun katanya, tindakan menghalang wakil rakyat daripada berbahas di dalam Dewan Negeri Selangor memberi gambaran buruk terhadap amalan demokrasi di negeri berkenaan.
“Jika wakil rakyat seperti saya, yang diberikan mandat oleh rakyat Negeri Selangor pun dihalang oleh Speaker Dewan Negeri daripada berbahas dalam Dewan Negeri Selangor, maka ianya tanda ‘Demokrasi Mati’ di Negeri Selangor,” katanya.



