NADI diiktiraf pusat transformasi digital ITU, 1.9 juta rakyat jadi ahli – Fahmi Fadzil

PERMATANG PAUH, 25 April – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus diperkasa sebagai hab komuniti digital negara selepas diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa atau ITU Digital Transformation Centre (ITU-DTC).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan peluang digital dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya komuniti setempat.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 1,099 pusat NADI telah beroperasi di seluruh negara dengan jumlah keahlian mencecah 1.9 juta orang.

“Ini menunjukkan bahawa NADI bukan sahaja diterima baik oleh masyarakat, malah menjadi platform penting yang membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan teknologi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Pengiktirafan NADI Sebagai Pusat Transformasi Digital ITU-DTC di NADI Kubang Semang, Yayasan Aman, Pulau Pinang hari ini.

Fahmi berkata, impak NADI dapat dilihat melalui pelaksanaan Perkhidmatan Pintar yang memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan.

Katanya, pendekatan tersebut memastikan kemudahan digital yang disediakan tidak hanya terhad kepada akses internet semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat sebenar yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Melalui teras keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat, NADI membantu rakyat memperoleh kemahiran baharu, meningkatkan pengetahuan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas.

“Usahawan kecil dapat memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk, manakala belia dan komuniti setempat dapat meningkatkan kemahiran yang memberi nilai kepada kehidupan mereka,” katanya.

Di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 42 pusat NADI kini berperanan aktif memperkasa komuniti setempat melalui akses digital, latihan kemahiran dan sokongan kepada perusahaan kecil.

Fahmi turut berkongsi kejayaan Puan Azimah Awang dari Tasek Gelugor, pengusaha Sweet Sujee Empire di NADI Sungai Dua, yang berjaya mengembangkan perniagaan biskut, roti dan pastri hasil bimbingan serta latihan NADI.

Menurut beliau, perniagaan itu berkembang sehingga Azimah membuka kiosk SweetSujee Brew & Bites di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai, Bukit Mertajam pada September 2025.

Perniagaan tersebut kini turut menggunakan platform digital seperti WhatsApp, GrabFood, Foodpanda dan TikTok bagi memperluas pasaran.

Selain itu, Puan Siti Hajar Bakar dari Butterworth yang mengikuti program Mahir Masak di NADI Taman Gelugor Indah turut berjaya menjadikan kemahiran memasak sebagai perniagaan produk roti dan masakan barat secara dalam talian.

Dalam bidang pendidikan pula, Fahmi berkata, pencapaian adik Nur Waffa Muhamad Hafizi dari NADI FELDA Ulu Tebrau yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2025 melalui program NADI Tuisyen Rakyat membuktikan manfaat NADI merentasi pelbagai kelompok masyarakat.

“Inilah makna sebenar transformasi digital. Apabila teknologi bukan hanya dilihat sebagai kemudahan, tetapi menjadi alat yang membantu rakyat membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan sebagai ITU Digital Transformation Centre menjadi satu lagi bukti bahawa usaha memperkasa komuniti melalui NADI memberi impak besar kepada rakyat dan mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Katanya, kejayaan itu hadir selepas NADI turut menerima pengiktirafan World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes dalam kategori Capacity Building tahun lalu.

Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti digital negara.

Jelasnya, usaha itu akan dilaksanakan melalui peluasan program literasi digital, pembangunan kemahiran baharu dan akses kepada lebih banyak peluang untuk masyarakat.

“Fokus kita jelas, iaitu memastikan rakyat bukan sahaja mempunyai akses kepada teknologi, tetapi benar-benar mampu memanfaatkan teknologi untuk mengubah kehidupan,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat