PUTRAJAYA,– Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Sri Abdul Halim bin Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan pelantikan itu telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada Seri Paduka Baginda semalam.
Menurut beliau, pelantikan Abdul Halim dibuat selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Abdul Halim bin Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkuat kuasa pada 13 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shamsul Azri berkata, kerajaan yakin pengalaman luas serta integriti tinggi Abdul Halim mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus negara.
Beliau berkata, pelantikan itu juga diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.
Abdul Halim bukan nama asing dalam bidang perundangan negara kerana beliau merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan pernah berkhidmat di beberapa mahkamah termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Shah Alam.
Latar belakang beliau dalam bidang kehakiman dilihat memberi nilai tambah kepada SPRM, khususnya dari sudut kefahaman mendalam terhadap undang-undang, proses pendakwaan, prinsip keadilan dan keperluan memastikan siasatan rasuah dilaksanakan secara telus serta berintegriti.
Pelantikan Abdul Halim sekali gus bakal menggantikan Tan Sri Azam Baki yang kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilaporkan berakhir pada 12 Mei ini.
Sebelum ini, status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM menjadi perhatian selepas Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan meneliti dan menentukan calon terbaik bagi menerajui agensi antirasuah itu.
RTM semalam melaporkan Perdana Menteri telah mempersembahkan senarai calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Yang di-Pertuan Agong di Johor Bahru.
SPRM merupakan agensi utama negara dalam penguatkuasaan undang-undang antirasuah, termasuk siasatan berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009. – SuaraTV



