Ibu Soko tiada kuasa batalkan keputusan Undang, kenyataan dilihat bermotif peribadi – Undang Luak Sungai Ujong

SEREMBAN, – Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong menegaskan Ibu Soko tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan Undang, sambil mendakwa kenyataan yang mempertikaikan tindakan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu dilihat bermotif peribadi dan tidak mewakili proses adat yang sebenar.

Dalam kenyataan balas berhubung polemik yang sedang memuncak, Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong mendakwa naratif bahawa Ibu Soko boleh menentukan kesahihan atau membatalkan keputusan Undang Luak Sungai Ujong adalah tidak tepat, malah bercanggah dengan susunan adat yang diamalkan di luak berkenaan.

Menurut kenyataan itu, individu yang disebut sebagai Ibu Soko dalam pertikaian semasa ialah Sarifah Norzaidah Al Qadri, yang didakwa mempunyai kaitan langsung dengan Wan Khairil Adli bin Mohd Yusoff, iaitu salah seorang daripada dua bekas penyandang pesaka yang menurut pihak balai telah pun dilucutkan lebih awal. Seorang lagi yang dinamakan ialah Zainol Ariffin bin Ibrahim.

Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong mendakwa kedua-dua individu berkenaan pada asalnya merupakan Dato-dato Lembaga Adat Sungai Ujong yang sah dan menerima elaun waris, namun kemudiannya didakwa menubuhkan “Majlis Dato-Dato Lembaga Adat Sungai Ujong” tanpa pengetahuan, restu dan perkenan YTM Dato’ Klana Petra. Menurut kenyataan itu, arahan supaya majlis tersebut dibubarkan juga dikatakan tidak dipatuhi.

Pihak balai turut membuat dakwaan lebih serius bahawa nama majlis tersebut telah digunakan untuk memohon dana kerajaan bagi tujuan peribadi tanpa audit, termasuk dengan menggunakan nama Undang Luak Sungai Ujong. Dakwaan itu, menurut kenyataan berkenaan, terbongkar selepas pihak balai dihubungi berhubung laporan kewangan melibatkan sumbangan yang didakwa disalurkan oleh pihak Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Susulan itu, Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong mendakwa siasatan dalaman telah membawa kepada tindakan melucutkan pesaka kedua-dua individu terbabit, sekali gus menggugurkan segala hak keistimewaan termasuk elaun pencen waris yang sebelum ini diterima. Pihak balai juga berhujah bahawa keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan status Ibu Soko yang dikaitkan dengan salah seorang daripada mereka.

Dalam menjelaskan proses adat, Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong menegaskan Ibu Soko bukan pihak yang mempunyai kuasa muktamad untuk memecat Undang. Sebaliknya, menurut kenyataan itu, sesuatu proses hanya boleh bergerak melalui aduan dan perbincangan dengan Dato’ Andulika Mandalika sebelum dibawa ke mesyuarat Dato-dato Lembaga termasuk Dato-dato Lembaga Tiang Balai, dan memerlukan sokongan sebulat suara untuk dianggap sah.

Sehubungan itu, pihak balai menegaskan pandangan atau tindakan pihak yang dikaitkan dengan Ibu Soko dalam kemelut semasa tidak lagi terpakai kerana individu utama yang dirujuk itu didakwa telah kehilangan status sebagai orang bergelar dalam Luak Sungai Ujong berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong turut menjelaskan bahawa perkara berkenaan sebelum ini tidak diperbesarkan kepada umum kerana dianggap telah diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prinsip “Urusan Luak Biar Habis Di Luak”, selain bagi menjaga aib pihak terlibat sementara tindakan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Kenyataan itu turut menyentuh peranan “Telaga Undang” yang menurut pihak balai hanyalah sebuah rumah yang diisytiharkan sebagai tempat kerapatan Dato-dato Lembaga Luak Sungai Ujong untuk menyelesaikan isu waris dan anak buah, bukannya satu jawatan rasmi dalam hierarki adat. Malah, istilah “YM Telaga Undang” didakwa sebagai gelaran yang direka dan digunakan untuk mengelirukan masyarakat awam.

Selain itu, Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong memaklumkan bahawa beberapa surat berkaitan isu berkenaan telah diserahkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, pihak polis serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memaklumkan status majlis tersebut, penarikan semula pesaka dan pemberhentian elaun pencen waris kepada individu yang didakwa terlibat. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat