KUALA LUMPUR – Kenyataan dan dakwaan dibuat bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli memberikan kesan negatif terhadap keharmonian dalaman serta kekuatan parti berkenaan pada masyarakat umum.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Joho Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, sebarang dakwaan atau tuduhan perlu ditangani secara lebih berhemah agar tidak menjejaskan disiplin kalangan ahli.
Beliau dalam satu kenyataan bersama Timbalan MPN Johor Md. Ysahrudin Kusni memberitahu, pihaknya komited memastikan kestabilan dalaman parti di peringkat negeri dan pusat terjaga.
“Tindakan berterusan Datuk Seri Rafizi Ramli bukan sekadar perbezaan pandangan tetapi telah mencetuskan perbincangan terbuka yang berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman serta kekuatan PKR.
“Sekiranya matlamat adalah untuk memperkukuh parti, adalah lebih baik segala pandangan disalurkan melalui ruang yang sesuai agar tidak memberi ruang kepada pihak luar untuk memanipulasi keadaan,” katanya memetik Utusan di Johor pada Jumaat
Tambah beliau, tindakan Ahli Parlimen Pandan tersebut bukan lagi keberanian bersuara tetapi boleh disalah tafsir sebagai tindakan yang memberi kesan kurang baik kepada kestabilan parti.
“Pendekatan yang lebih berhemah justeru amat diperlukan. Apabila bekas pimpinan yang mengambil keputusan untuk terus menyuarakan kritikan secara terbuka, ia secara semula jadi menimbulkan persoalan dalam kalangan anggota mengenai hala tuju dan keutamaan bersama.
“Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej parti perlu ditangani dengan bijaksana, PKR Johor komited mempertahankan kestabilan dan memastikan parti terus bergerak ke hadapan secara tersusun,” tambahnya.



