KUALA LUMPUR – Malaysia boleh berunding dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membawa pulang anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 dari Lubnan jika keadaan di negara itu semakin meruncing.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, langkah tersebut boleh diambil bagi menjamin keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bawah panji PBB di Lubnan.
“Keputusan untuk berunding dengan PBB antara pilihan yang boleh dilaksanakan jika keadaan keselamatan di sana semakin teruk,” katanya memetik laporan Utusan.
Kelmarin, media melaporkan, tentera Malaysia yang bertugas di bawah panji PBB di Lubnan diarah menghentikan pergerakan operasi buat sementara waktu ekoran konflik semakin buruk di negara itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi menjamin keselamatan anggota susulan dua insiden melibatkan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) termasuk yang meragut dua nyawa anggota tentera Indonesia.
Selain itu, pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota Malbatt 850-13 sentiasa terpelihara.
Beliau juga berkata, pada masa ini semua anggota Malbatt 850-13 disahkan selamat
Laporan media sebelum ini berkata, dua anggota UNIFIL itu terbunuh dalam satu letupan di selatan Lubnan menjadikan insiden kedua dalam tempoh 24 jam ketika konflik antara Israel dan Hizbullah semakin memuncak.
UNIFIL memaklumkan kedua-dua anggota mangsa merupakan anggota dari Indonesia yang maut selepas kenderaan mereka musnah akibat letupan yang masih belum dikenal pasti, manakala dua lagi dua anggota cedera termasuk seorang dalam keadaan serius.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan tidak boleh membuat keputusan secara unilateral untuk membawa pulang anggota Malbatt 850-13 dari Lubnan kerana tertakluk kepada mandat UNIFIL.
Khaled berkata, penugasan pasukan pengaman Malaysia berada di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk soal pemerintahan dan pengunduran anggota.



