Nama Hafiz Suip bukan asing dalam dunia muzik tempatan. Sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim 7 pada tahun 2009, perjalanan seninya berkembang seiring usia dan pengalaman. Namun selepas 17 tahun bergelar penyanyi rakaman profesional, Hafiz masih mengakui satu perkara yang tidak pernah berubah debar setiap kali mahu memperkenalkan karya baharu.
Single terbaharunya, Yang Engkau Mahukan, menjadi nadi utama perjalanan terkininya. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu bukan sekadar balada tentang rasa, tetapi cerminan fasa hidup yang sedang dilaluinya. Diterbitkan oleh Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini mempertemukan semula dua figura yang sudah lama memahami bahasa muzik masing-masing.
Hafiz mengakui, lagu ini sangat dekat dengan dirinya. Ia bukan lagu yang sekadar dinyanyikan, tetapi dirasakan. Melodinya tidak statik, naik turun emosinya memberi ruang kepada vokalnya untuk bercerita. Malah proses rakaman dilakukan dua kali demi mencari ‘key’ yang benar-benar sesuai dengan karakter suaranya. Baginya, kesempurnaan teknikal sahaja tidak memadai emosi perlu sampai.
“Yang tahu… tahulah,” katanya ringkas apabila ditanya tentang makna sebenar lagu itu. Selebihnya, dia menyerahkan kepada pendengar untuk menafsir.

Dalam dunia muzik yang semakin padat dengan kemunculan bakat baharu, Hafiz tidak menafikan rasa gugup. Tetapi gugup itu lahir daripada rasa tanggungjawab. Setiap lagu yang dilepaskan ibarat satu amanah kepada peminat yang setia menunggu. Ajai sendiri menyifatkan Hafiz kini lebih matang, lebih jelas dengan apa yang dimahukan dari sudut teknikal dan penghayatan. Suaranya masih lunak seperti dahulu, tetapi kini ada lapisan pengalaman yang menjadikan setiap bait lebih dalam dan tulus.
Menariknya, kemunculan Yang Engkau Mahukan hadir seiring dengan lembaran baharu dalam kehidupan peribadinya. Pada 13 Februari lalu, Hafiz selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua dalam sebuah majlis sederhana di Kuching. Perkahwinan itu diumumkan secara ringkas dan pada saat akhir satu keputusan yang diambil atas prinsip untuk tidak terlalu menguar-uarkan hal peribadi.
Namun jauh daripada sekadar berita perkahwinan, momen itu sebenarnya menjadi latar emosi kepada single terbaharunya. Dalam temubual, Hafiz berkongsi bahawa lagu ini sedikit sebanyak terinspirasi daripada perjalanan hidupnya sendiri tentang jatuh bangun, tentang kehilangan, tentang menemukan kembali bahagia. Restu arwah ibunya sebelum ini menjadi antara dorongan terbesar untuknya melangkah ke fasa baharu. Pesanan agar perkara baik disegerakan masih terngiang-ngiang di fikirannya.

Walaupun kini bergelar suami, fokus Hafiz terhadap kerjaya tetap jelas. Baginya, kestabilan rumah tangga memberi ruang untuk dia berkarya dengan lebih tenang. Sokongan pasangan yang memahami industri juga menjadi ‘support system’ yang sangat penting. Dia percaya, kebahagiaan peribadi yang seimbang akan memantulkan tenaga positif dalam setiap karya yang dihasilkan.
Di tengah perubahan hidup dan tanggungjawab baharu, Yang Engkau Mahukan menjadi simbol kematangan seorang Hafiz Suip. Ia bukan lagu untuk membuktikan sesuatu, tetapi lagu untuk diraikan sebagai hadiah buat peminat dan mungkin juga sebagai refleksi dirinya sendiri.
Akhirnya, di sebalik segala strategi promosi dan perancangan album yang kini hampir 70 peratus siap, yang paling penting bagi Hafiz hanyalah satu mesej lagu sampai ke hati. Kerana dalam setiap nada yang dilantunkan, terselit doa dan harapan agar pendengar bukan sekadar mendengar, tetapi merasakan.
Dan mungkin, dalam diam, Yang Engkau Mahukan adalah jawapan kepada segala yang pernah dia cari.



