Desak kerajaan kenakan tindakan tegas terhadap pelajar pijak al-Quran atau bantahan awam – Pemuda Pas Selangor

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar memberi kata dua kepada kerajaan supaya mengambil tindakan tegas kepada seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah yang memijak al Quran.

Kata Sukri, sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan tegas oleh kerajaan, beliau akan mengerakkan bantahan awam besar-besaran mengikut akta perhimpunan awam.

“Saya mengecam sekeras kerasnya tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah yang memijak al Quran. Ini bukan salah laku kecil. Ini adalah penghinaan terbuka terhadap kitab suci umat Islam yang wajib dipandang serius oleh negara.

“Al-Quran ialah kalam Allah yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam. Ia bukan sekadar teks, tetapi asas akidah, syariat dan peradaban. Tindakan memijaknya adalah satu provokasi melampau yang mencabar keharmonian serta menguji ketegasan undang undang negara.

“Malaysia bukan negara yang membenarkan budaya ekstrem atas nama kebebasan tanpa batas. Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar benar tegas, ia akan menjadi precedent berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang.

“Saya menuntut tindakan yang keras dan tidak berkompromi dari pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Antara tindakan segera yang mesti dilaksanakan katanya ialah siasatan serta merta dan pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan penghinaan agama dan ketenteraman awam. Dengan hukuman paling berat yang boleh di jatuhkan.

“Juga penamatan serta merta daripada pengajian di Universiti. Serta tidak dibenarkan memasuki mana-mana universiti awam.

“Hukuman kerja kemasyarakatan berat dan berpanjangan di bawah pemantauan rasmi, termasuk khidmat wajib di institusi kebajikan serta program pemulihan sahsiah yang ketat.

“Namun saya tegaskan, undang undang sedia ada mungkin tidak lagi memadai untuk menangani penghinaan terbuka terhadap Islam yang semakin berani dan provokatif,” tegas beliau.

Tambah Sukri lagi, Kerajaan Persekutuan mesti mempertimbangkan penggubalan rang undang undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Undang undang tersebut perlu memperincikan bentuk kesalahan, memperkemas takrif penghinaan serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan jelas sebagai pencegahan.

“Saya menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong sebarang usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam. Dalam isu maruah agama, tidak sepatutnya ada politik kepartian. Ini soal prinsip, soal aqidah dan soal ketenteraman negara.

“Ketegasan negara dalam isu ini akan menjadi garis pemisah yang jelas bahawa kesucian al-Quran tidak boleh dipijak dan agama tidak boleh dijadikan bahan provokasi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat