KUALA LUMPUR, — Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan bahawa beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan sekiranya tidak didakwa di mahkamah berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sambil mendakwa agensi itu mempunyai kecenderungan memalukan individu melalui proses siasatan tanpa pendakwaan.
Dalam podcast terbaharu beliau, Rafizi berkata beliau tidak gentar dengan siasatan dan mencabar pihak berkuasa supaya mendakwanya secara rasmi sekiranya terdapat bukti salah laku.
“Kalau ada kes, dakwa sahaja di mahkamah. Tetapi kalau tidak didakwa dan tuduhan terus dimainkan, saya berhak mempertahankan diri melalui tindakan undang-undang,” katanya.
Rafizi turut mendakwa terdapat amalan di mana individu yang ditahan reman dipamerkan kepada umum, sekali gus memberi gambaran bahawa mereka telah bersalah walaupun belum didakwa atau disabitkan di mahkamah.
Menurutnya, tindakan membawa tahanan reman secara terbuka dan dipaparkan kepada media memberi kesan besar kepada reputasi individu yang disiasat, walaupun siasatan tersebut mungkin tidak membawa kepada pendakwaan.
Beliau berkata terdapat kes sebelum ini melibatkan ahli politik dan pegawai kerajaan yang disiasat tetapi tidak didakwa, namun reputasi mereka telah terjejas akibat persepsi awam yang tercetus sepanjang tempoh siasatan.
Dalam podcast yang sama, Rafizi turut menjawab tuduhan rasuah yang dikaitkan dengannya dengan menjelaskan bahawa sesuatu kes rasuah memerlukan elemen tertentu yang jelas sebelum seseorang boleh dituduh secara sah.
Menurut beliau, elemen asas rasuah termasuk kewujudan pemberi dan penerima rasuah, transaksi yang boleh dibuktikan serta kaitan langsung antara imbuhan yang diterima dengan sesuatu keputusan atau tindakan rasmi.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan terhadapnya tidak memenuhi elemen tersebut dan tidak disertakan dengan sebarang bukti yang menunjukkan berlakunya transaksi rasuah.
“Itu tidak masuk akal. Saya gunakan wang saya sendiri, termasuk wang gratuity selepas meletak jawatan sebagai menteri. Kalau saya ada RM1.1 bilion, saya tidak akan buka perniagaan kecil,” katanya.
Rafizi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, namun menegaskan bahawa reputasi seseorang tidak seharusnya dihukum melalui persepsi awam tanpa pertuduhan rasmi di mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tuduhan perlu dibuktikan melalui proses perundangan yang telus dan bukan sekadar dimainkan di ruang awam tanpa pendakwaan. – SuaraTV



