Selangor patuh titah Sultan, segerakan proses kajian EIA ladang ternak babi di Bukit Tagar – Amirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan menyegerakan proses kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) terhadap projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan ladang ternakan baharu memerlukan kajian EIA dan berkaitan kerana berkemungkinan wujud perumahan dan penempatan, selain kesan kepada alam sekitar.

“Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) bertitah disegerakan. Insya-Allah, kita akan laksanakan secepat mungkin dan perbincangan dengan pihak terbabit dilaksanakan segera.

“Kita akan tengok proses yang dibuat daripada EIA dan sebagainya. Kita mungkin perlukan masa tetapi kita cuba perkemaskan dengan cepat.

“Kita akan adakan rundingan dengan pihak terbabit di kawasan persekitaran Bukit Tagar) tetapi pendengaran awam tidak semestinya dilakukan, kita ikut peraturan dan keperluan,” katanya ketika diminta mengulas rancangan pembangunan kawasan penternakan baharu babi di Bukit Tagar.

Beliau berkata, 69 pengusaha ladang penternakan babi yang aktif dikenal pasti dan selebihnya beroperasi tanpa lesen di negeri ini.

“Kita perlu terangkan kepada pengusaha bahawa selagi kawasan itu tidak ditutup, selagi itu pencemaran yang terhasil daripada konsep penternakan tradisional berlanjutan.

“Langkah awal kita adalah menutup pengurusan tradisional yang menyebabkan pencemaran bau dan air, berubah ke arah penternakan moden diusahakan pihak swasta di Bukit Tagar.

“Saya nak tengok bagaimana sistem kumbahan, adakah boleh beroperasi tanpa beri risiko kepada kawasan sungai dan alam sekitar,” katanya menurut BH pada Selasa.

Amirudin berkata, data awal Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati ada kira-kira 120,000 ekor babi diternak ketika ini, memenuhi 30 peratus daripada keperluan tempatan.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan kajian menyeluruh kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk masyarakat bukan Islam di negeri itu, selain tiada lagi penternakan babi di Kuala Langat dan peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk operasi penternakan babi di Selangor pada masa depan.

Ketetapan itu dititah baginda ketika sesi menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat