Sikit pun tak terancam, kita sama-sama PN – Hilman jawab Pemuda Pas mahu ‘rampas’ Gombak Setia

KUALA LUMPUR – Adun Gombak Setia Hilman Idham akui tidak terancam dengan hasrat Pemuda Pas Gombak yang menyatakan kesediaan untuk mencabar Bersatu di DUN Gombak Setia pada pilihan raya akan datang.

Menurut Hilman yang juga Ketua Armada Bersatu beliau tidak kemaruk dengan jawatan politik sebaliknya lebih mementingkan kemenangan Perikatan Nasional (PN).

“Sikit pun tidak terancam. Sebab kami sama-sama PN, yang penting PN menang.

“Saya bukan ‘cari makan’ dengan politik.

“Saya tak hadap jawatan politik. Tapi tanggungjawab sebagai Adun itu memang berat, lebih-lebih lagi sebagai Adun pembangkang,” katanya

Hilman malah menegaskan, beliau akur jika PN ada calon yang lebih layak berbanding dirinya untuk ditempatkan di Gombak Setia.

“Jika itu keputusan parti, dan parti ada calon boleh menang yang boleh menggantikan saya di Gombak Setia, saya pasti akur.

“Cuma nasihat saya, jangan gopoh. Sebagai pemuda, bekerja secara konstruktif.

“Jika minat di Gombak Setia, ayuh bekerja bersama saya atas nama PN,” seru beliau.

Dalam pada itu, Hilman mengingatkan Pas bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor mempunyai 56 kerusi jadi mustahil untuk Pas bertanding kesemuanya.

“Saya tak rasa terancam pun. Selangor ada 56 kerusi, mustahil Pas nak tanding semua.

“Lagi pun saya dah menang sebagai Ahli Dewan Negeri selama 2 penggal, sejak 2018 walaupun saya bukan ‘panglima perang’, ” bidas Hilman lagi.

Sebelum itu, Pemuda Pas Gombak menyatakan kesediaan untuk mencabar Bersatu di DUN Gombak Setia pada pilihan raya akan datang, selaras dengan seruan Pemuda Pas Selangor yang mahu parti itu menjadi wakil PN di kerusi tersebut.

Ketua Pemuda Pas Gombak Abu Ubaidah Abdullah memberitahu, sokongan terhadap langkah itu berpunca daripada sentimen akar umbi Pas di Gombak Setia yang didakwa semakin tidak berpuas hati dengan kepimpinan wakil rakyat sedia ada.

Menurutnya, ahli dan petugas Pas yang bekerja keras memenangkan PN pada pilihan raya lalu merasakan mereka dipinggirkan, malah tidak merasai kebersamaan dengan Adun yang dilantik selepas kemenangan tersebut.

“Tanpa sentuhan dan kebersamaan Adun yang dilantik, jerih perih petugas di peringkat akar umbi seolah-olah tidak dihargai,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar berpandangan partinya wajar bertanding di DUN Gombak Setia, yang kini disandang Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham. Hilman menang kerusi itu dengan majoriti tipis 58 undi.

Dalam pada itu, Abu Ubaidah turut menyentuh isu-isu melibatkan wakil rakyat dan pembantunya yang didakwa memberi kesan negatif kepada moral petugas serta keyakinan ahli parti di kawasan berkenaan.

Katanya, ahli Pas di Gombak Setia berharap kepimpinan DUN tersebut diterajui individu yang berwibawa, berakhlak mulia dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Atas asas itu, Pemuda Pas Gombak sedia ke hadapan menyahut seruan agar Pas meletakkan calon dan bertanding di DUN Gombak Setia bagi mewakili PN,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat