KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan Ezzat Hanuzi mengemukakan beberapa cadangan untuk tindakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh untuk permulaan Pemuda Umno menjadi bermaruah.
Ezzat yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyarankan, Akmal melepaskan jawatan sebagai Exco Negeri Melaka supaya dapat berkhidmat sebagai YB (wakil rakyat) biasa dan belajar cara menjadi pembangkang yang bermaruah, tanpa keistimewaan dan peruntukan khas.
Beliau juga menggesa Akmal supaya memberi arahan kepada semua Pemuda Umno di setiap bahagian di Malaysia untuk melepaskan semua jawatan dalam GLC dan bergerak sebagai pembangkang yang bermaruah.
“Saya sangat menghormati pemimpin Umno, tetapi saya ingin menyampaikan sedikit kritikan kepada Pemuda Umno yang lantang mengkritik Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin bukan semua Pemuda U bahanogian bersetuju dengan kenyataan Akmal Ketua Pemuda Umno. Namun, ramai memilih untuk berdiam mungkin kerana menghormati atau takut dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.
“YB Akmal sering menyatakan bahawa Melayu ditindas. Namun, di Perlis, daripada 15 Adun, 14 adalah Melayu, dan hanya 1 daripada PH. Malah, masih berlaku “tebuk atap” di kalangan mereka sendiri.
“Lebih bermaruah jika YB mengambil contoh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang apabila tidak bersetuju dengan partinya, keluar dan menubuhkan parti sendiri, bertanding atas parti baru, dan menang. Cara ini menunjukkan keberanian dan konsistensi dalam soal maruah,” ujar Ezzat dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Jelas sekali katanya, pandangan Akmal sangat berbeza dengan pandangan Presiden Umno dan pimpinan lain.
“Tunggu apa lagi, YB Dr Akmal?
“Jangan asyik mengugut tanpa tindakan nyata,” gesa beliau.



