KUALA LUMPUR- Hubungan lebih daripada 5 dekad MCA bersama Umno dalam Barisan Nasional (BN) kekal utuh meskipun parti itu memberi bayangan bersedia menilai semula kedudukannya dalam gabungan berkenaan.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap parti mempunyai pendirian politik yang tersendiri, namun Umno melihat MCA masih komited untuk kekal bersama BN.
Menurutnya, perbezaan pandangan antara parti komponen adalah perkara biasa dalam politik namun ia tidak menjejaskan hubungan rapat yang telah dibina sejak lebih 50 tahun lalu antara kedua-dua parti tersebut.
“Setakat hari ini, saya melihat MCA akan kekal terus bersama BN.
“Hubungan kami baik dan kita faham setiap parti mempunyai hala tuju serta keutamaan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lapor Utusan pada Isnin.
Johari berkata, landskap politik global hari ini menunjukkan agak sukar untuk mana-mana negara ditadbir oleh satu parti secara mutlak, justeru kerjasama politik perlu dilentur dan disesuaikan dengan keadaan semasa.
“MCA sudah lama bersama kita. Hubungan ini bukan sesuatu yang baharu, malah sudah sebati. Bantuan dan kerjasama yang dijalinkan lebih setengah abad menjadikan kita saling memahami,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa sebarang keputusan buat masa kini perlu melalui tempoh pendamaian agar sesuatu keputusan dibuat secara adil.
“Ini semua proses perdamaian dalam politik. Kita lihat semula, bincang dan perbaiki apa yang perlu. Jadi tempoh pemulihan hubungan itu sudah tentu kita akan perhatikan atau nilai semula,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan bersama BN sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu terutama DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia bergerak solo jika gabungan politik itu terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat melemahkan kedudukan dan bercanggah dengan pendirian parti.



