TAWAU – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Merotai Datuk Ruji Ubi berjanji akan memperjuangkan sekali gus menyelesaikan tiga isu utama yang membelenggu rakyat di kawasan itu sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 29 Nov ini.
Kata Ruji, ramai yang bertanya, “Apa sebenarnya yang boleh diselesaikan jika Merotai memilih YB daripada kerajaan?”
“Dalam pertemuan bersama penduduk tempoh hari, saya jelaskan tiga perkara asas yang perlu diberi keutamaan iaitu infrastruktur asas iaitu lampu solar, kawasan ‘blackspot’, jalan konkrit dan jambatan — semuanya memerlukan peruntukan kerajaan untuk disegerakan.
“Dengan mandat rakyat, ini boleh dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Begitu juga dengan isu dokumentasi penduduk, masih ramai yang berhak mendapat status warganegara atau kemas kini dokumen, tetapi urusan mereka tertangguh kerana tiada bimbingan. Ini adalah perkara yang perlu saya selesaikan segera jika diberi amanah.
“Perawatan kampung dan pengukuran tanah adat
Isu lama yang memerlukan penyelarasan dengan jabatan berkaitan.
“Saya pernah terlibat dalam program ini di peringkat negeri, dan saya tahu bagaimana membantu komuniti kampung menyelesaikan perkara ini,” jelas Ruji.
Tegas beliau, Merotai berhak mendapat tindakan yang cepat, teratur dan berpihak kepada rakyat.
“Dengan sokongan anda, setiap isu ini akan menjadi keutamaan saya,” ikrar beliau.



