34 projek sakit PR1MA seluruh negara berjaya diselesaikan – Menteri KPKT

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kesemua 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di seluruh negara dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini 32 projek daripada 34 projek sakit telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli manakala baki dua projek iaitu Residensi Klebang 2 serta Residensi Bukit Katil di Melaka dijangka diselesaikan pada bulan depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

“KPKT akan membantu mempercepatkan proses ini supaya kedua-dua projek dapat diserahkan kepada pembeli dengan segera. Setelah projek-projek ini siap, tiada lagi projek sakit di bawah PR1MA menjelang 2016.

“Ini adalah pencapaian penting yang membuktikan kemampuan Kerajaan MADANI menerusi KPKT dan PR1MA dalam memulihkan projek sakit tanpa menjejaskan standard kualiti,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Simpang Empat 2 (Fasa 1) di Simpang Empat, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perumahan & Kesejahteraan Komuniti) Hj. Zulkeflee Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Kemampanan dan Perancangan Strategik), Mohd Hazli Ahmad @Adnan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Hj. Mohd Nazri Md. Shariff.

Kor Ming berkata antara projek yang dipulihkan, 10 daripadanya telah menerima 17 anugerah dan pengiktirafan industri, sekaligus mencerminkan pemulihan dilaksanakan pada piawaian tertinggi.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan kunci Residensi Simpang Empat 2 (Fasa 1), terdiri daripada 432 unit rumah teres satu dan dua tingkat, yang telah habis terjual.

Projek yang dibina oleh kontraktor Bina Conso Sdn Bhd ini turut mencatat skor QLASSIC 78 peratus (%), mencerminkan penekanan PR1MA terhadap mutu kerja dan ketelitian pembinaan.

Sejak penubuhan PR1MA, sebanyak 67 kediaman mampu milik meliputi 44,244 unit telah berjaya disediakan di seluruh negara.

“Setakat ini sebanyak 76.5% keluarga di Malaysia telah memiliki kediaman sendiri, baki 26% lagi perlu dicapai dan Kerajaan MADANI sedang mengusahakan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

“Kebelakangan ini, sejak Kerajaan MADANI memegang tampuk kepimpinan, sektor perumahan negara dilihat pulih sepenuhnya dan menunjukkan perkembangan serta pertumbuhan yang sihat,”katanya lagi.

Tambahnya, terdapat hampir 18% peningkatan dalam kadar pemilikan perumahan. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat