Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa tiada istilah cuti bagi pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini susulan beberapa insiden yang melibatkan keselamatan di sekolah.
Menurutnya, pelbagai langkah sedang diatur untuk memperkukuh ekosistem sekolah selamat, termasuk penyusunan semula mekanisme keselamatan dan pengurusan intervensi krisis.
“Beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut kita untuk bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru dan seluruh warga pendidikan,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dan sesi debrief bersama pasukan sokongan psikososial yang kini melaksanakan intervensi krisis bagi membantu warga sekolah terjejas, termasuk memberi tumpuan kepada sokongan kesihatan mental.
Selain itu, beberapa siri perbincangan bersama pasukan KPM turut dijalankan bagi menambah baik aspek keselamatan dan disiplin murid, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dibentangkan baru-baru ini.
“Insya-Allah saya akan umumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat,” jelas beliau.
KPM kini dilihat semakin proaktif dalam menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk memperkukuh latihan intervensi krisis, pengurusan risiko, dan pendekatan berasaskan kesejahteraan mental pelajar dan guru.



