Suspek kes rogol tetap dihukum walaupun usianya bawah 18 tahun

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan suspek kes rogol di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan perundangan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.

Beliau berkata, ini kerana tindakan merogol adalah perbuatan jenayah dengan pertuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.

“Bukannya (pelaku) bawah 18 tahun boleh bebas jika dia melakukan jenayah. Ini banyak orang salah faham.

“Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan, tetapi mahkamah (untuk prosiding pertuduhan dan perbicaraan kes terbabit) mungkin berlainan,” katanya pada sidang media, lapor BH pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung empat pelajar disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan, dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November depan.

Fadhlina dipetik berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berdepan tindakan undang-undang susulan kes itu.

Kelmarin, empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana ke atas semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat