“Memalukan Dunia Masih Perlu Misi Seperti Ini” – Greta Tiba di Greece Bersama Flotila Gaza

ATHENS, 7 Okt – Aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, tiba di Greece pada Isnin bersama puluhan aktivis lain yang diusir dari Israel selepas menyertai misi penghantaran bantuan ke Gaza, lapor Agensi Berita Perancis (AFP).

Thunberg, 22, merupakan antara ratusan peserta Global Sumud Flotilla yang berlepas dari Barcelona, Sepanyol awal September lalu dalam usaha memecah sekatan laut Israel ke atas wilayah Gaza yang dilanda peperangan.

Sekembalinya ke Eropah, ramai aktivis mendakwa mereka dilayan secara kasar oleh pihak berkuasa Israel selepas kapal mereka dipintas tentera laut negara itu berhampiran perairan Mesir minggu lalu.

Thunberg bersama 160 aktivis lain mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens, disambut oleh kumpulan penyokong yang mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan slogan: “Kebebasan untuk Palestin” dan “Hidup flotila!”

Thunberg menyifatkan misi itu sebagai “percubaan terbesar dalam sejarah untuk memecahkan sekatan Israel yang haram dan tidak berperikemanusiaan melalui laut.”

“Adalah memalukan bahawa misi seperti ini perlu wujud,” katanya lagi, sambil menggesa dunia bertindak bagi menghentikan “pembunuhan beramai-ramai” terhadap rakyat Palestin.

“Kita bahkan tidak melihat tindakan minimum daripada kerajaan-kerajaan kita,” tambah beliau.

Antara aktivis yang turut tiba di Greece ialah Rima Hassan, ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin, yang mendakwa dirinya telah dipukul oleh polis Israel selepas flotila mereka dipintas.

“Saya dipukul oleh dua anggota polis ketika mereka memasukkan saya ke dalam van,” katanya kepada AFP.

Menurut Hassan, beliau dan tahanan lain ditempatkan dalam kumpulan sehingga 15 orang setiap sel di penjara keselamatan tinggi Israel, hanya beralaskan tilam nipis.

Yasmin Acar, ahli jawatankuasa pemandu flotila itu, mendakwa para tahanan “dilayan seperti haiwan” dan “pengganas”.

“Kami telah diserang secara fizikal, kami dinafikan tidur,” katanya.

“Kami tidak mempunyai air bersih. Dalam tempoh 48 jam pertama, tiada makanan, tiada air langsung.”

Bagaimanapun, Israel menolak semua dakwaan penderaan tersebut sebagai tidak benar.

Menurut Kementerian Luar Greece, penerbangan khas membawa pulang 27 warga Greece serta 134 rakyat dari 15 negara Eropah lain telah mendarat di Athens.

Kementerian Luar Israel pula memaklumkan bahawa seramai 171 aktivis telah dihantar pulang ke Greece dan Slovakia.

Bratislava mengesahkan seorang warganya turut tiba bersama sembilan individu lain dari Belanda, Kanada dan Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan berasingan, polis Israel memaklumkan lebih 470 orang ditahan daripada kapal flotila, manakala 138 aktivis masih ditahan di Israel.

Antara mereka termasuk 13 warga Brazil, dengan tiga daripadanya melancarkan mogok lapar, menurut jurucakap delegasi Brazil, Lara Souza.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dalam kenyataannya di platform X, menuntut agar “situasi tidak masuk akal ini berakhir secepat mungkin” dan semua warga Brazil dibebaskan segera.

Beliau turut menuduh Israel telah “melanggar undang-undang antarabangsa” dengan memintas flotila tersebut dan “terus melakukan pelanggaran dengan menahan mereka tanpa sebab.”

Kerajaan Israel menyifatkan flotila berkenaan sebagai cabang kepada Hamas — pergerakan Islam Palestin yang sedang diperangi rejim itu di Gaza.

Menurut tentera laut Israel, kapal-kapal berkenaan telah melanggar zon larangan dan hanya membawa sedikit bantuan kemanusiaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat