KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno mendesak Ketua DAPSY Kebangsaan Woo Kah Leong memaklumkan kepada pucuk pimpinan DAP untuk memutuskan hubungan dengan Umno.
Datuk Dr Akmal Saleh menggesa cadangan putus hubungan itu susulan laporan muka depan akhbar berbahasa Cina yang melaporkan “Kah Leong: DAPSY dengan Pemuda Umno, Pemuda MCA – Haluan berbeza, tidak boleh bekerjasama”.
Justeru Akmal memberi reaksi lega dan bersyukur dengan kenyataan DAPSY itu.
“Alhamdulilah syukur. Saya minta juga Ketua Pemuda DAPSY untuk maklumkan pada lu punya bos,beritahu mereka putus lah hubungan terus dengan Umno jangan sembang sahaja.
“Kalau sembang sahaja tak berguna,” bidas Exco Melaka itu.
Meskipun DAPSY membuat kenyataan demikian namun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini menegaskan, sekiranya Pakatan Harapan (PH) meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), parti itu mahu kekal bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian itu selari dengan prinsip yang dipersetujui dalam kalangan parti.
“Kalau kita bekerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, maka kita tidak boleh bertembung antara satu sama lain. Maksudnya, kita perlu ada pembahagian kerusi yang jelas.
“Jadi pembahagian kerusi ini mesti ada prinsipnya iaitu mana-mana kerusi yang telah pun dimenangi oleh parti tersebut perlu dikekalkan oleh parti tersebut,” katanya.



