Oleh Zihan Zari
GOPENG – Karnival Kerjaya MyFutureJobs X Kolej Komuniti Negeri Perak (KKNP) 2025 menjadi wahana penting berjaya menghimpunkan pelajar, alumni KKNP serta pemain industri di bawah satu bumbung.
Karnival ini yang bertemakan ‘Career Launchpad with Industries & Alumni’ telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Riam a/p Chau Mai telah berlangsung di Dewan FAMA, RTC Gopeng dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak, Khairul Mizan Md Said; CEO@POLYCC merangkap Pengarah Urusan Infra Minda Global Sdn. Bhd, Tc. Shariff Zulkepele Sharif Harun; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Industri & Alumni KKNP merangkap Pengarah Kolej Komuniti Taiping, Aznur Anuar Ab Azid; dan wakil-wakil industri dan alumni KKNP.
Menerusi kenyataan Kolej Komuniti Taiping berkata, karnival ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhubungan Industri dan Alumni KKNP dengan kerjasama PERKESO Perak.
“Pengarah Kolej Komuniti Taiping telah menyusun perjalanan karnival ini dengan pelbagai pengisian aktiviti yang padat dan berimpak tinggi iaitu dialog Bersama Alumni kisah inspirasi dari alumni kolej komuniti yang telah mencipta nama dalam bidang yang diceburi dan menjadi inspirasi.
“Individu yang menempa kejayaan antaranya, Pengurus Annis Wafa Empire, Sharifah Annis Wafa Syed Munir Wafa (Alumni Kolej Komuniti Kuala Kangsar); Pemilik, SAZ Garage, Mohamad Shafiq Zulkafli (Almuni Kolej Komuniti Sungai Siput); dan Pengurus Act Grafix Enterprise, Nur Syuhaida Baharuddin (Kolej Komuniti Teluk Intan).
“Turut diadakan, Dialog Bersama Industri peluang memahami kehendak majikan dan trend semasa bersama Assistant L&D Manager Doubletree By Hilton Damai Laut Resort, Muhammad Ilham Muhammad Aminuddin dan Shahril Kamarul Bahar dari Pineapple Garage,”kata kenyataan itu.
Katanya lagi, turut diadakan perkongsian CEO@POLYCC ilmu terus dari tokoh industri iaitu, Tc. Shariff Zulkepele yang membicarakan program usahasama Kolej Komuniti dan Politeknik Malaysia (POLYCC) bersama pemimpin Industri bertujuan dalam menghubungkan industri dengan POLYCC untuk melatih bakal pemimpin dan profesional dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, para CEO industri yang dilantik akan menjalankan sesi perkongsian ilmu serta menjalinkan kerjasam kolaborasi dalam memperkasakan TVET di POLYCC seperti Taklimat MyFuture Jobs oleh PERKESO sebagai pintu masuk kepada ribuan peluang pekerjaan.
Selain itu, Hired in Style sebagai panduan bergaya menghadapi dunia kerjaya serta pameran dan temuduga terbuka bersama Industri diberi peluang direkrut terus oleh majikan.
Ujarnya, karnival ini bukan sekadar penganjuran tahunan, malah sebahagian daripada strategi KKNP dalam memperkukuh hubungan dengan industri serta komuniti.
“Ia seiring dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035) yang menekankan kebolehpasaran graduan dan pemerkasaan TVET, ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan relevan dengan keperluan pasaran semasa,”ujarnya lagi.
“Kerjasama erat bersama industri seperti ini mengangkat martabat POLYCC sebagai peneraju latihan TVET negara, sekali gus menjadi pemangkin pembangunan modal insan.
“Dengan sokongan padu daripada Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, JPPKK, penganjuran ini diyakini mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten malah mempunyai jaringan strategik yang kukuh dalam dunia pekerjaan sebenar, ”tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, seramai 149 pelajar termasuk orang awam telah ditemuduga dan 39 orang berhasil mendapat pekerjaan manakala 15 lagi berpeluang bagi temuduga kedua.
-SUARA.TV



