KOTA KINABALU, – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mendedahkan kegagalan rundingan antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpunca daripada sikap tamak GRS yang hanya menawarkan lapan kerusi kepada BN, walhal BN memenangi 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) yang lalu.
Salleh berkata, asas rundingan yang adil sepatutnya berpegang pada prinsip penyandang, iaitu kerusi yang dimenangi dikekalkan kepada parti asal. Jika terdapat pertindihan, ia boleh diselesaikan dengan kaedah pertukaran secara persetujuan.
“Dengan Pakatan Harapan (PH), rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati asas ini. Di mana ada pertindihan, kaedah pertukaran digunakan. Hasilnya, rundingan hampir selesai, menunjukkan kesediaan BN–PH bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebaliknya, katanya, rundingan dengan GRS tidak menghormati prinsip itu.
Malah, beliau mendedahkan ada pemimpin utama komponen GRS yang menyifatkan tawaran lapan kerusi itu sendiri sudah ‘terlalu banyak’ untuk BN.
“Kenyataan sebegini amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah memperlekeh BN serta menafikan sumbangan dan kekuatan BN di Sabah,” tegasnya.
Salleh menegaskan BN tidak akan bersetuju dengan cadangan yang merugikan serta tidak adil, selaras dengan pendirian Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan GRS.
“BN sentiasa terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja dalam suasana muafakat, tetapi asas rundingan mesti dihormati. Keutamaan kita tetap kepentingan Sabah di atas segala-galanya,” tambah beliau.- Suara.TV



