ASEAN seru Laut China Selatan diurus penuh hati-hati elak ketegangan, Kod Tatakelaku dimuktamadkan tak lama lagi – Menteri Luar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – ASEAN menyeru semua pihak supaya mengurus situasi di Laut China Selatan dengan penuh bijaksana dan berhati-hati.

Mesej itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sambil mengalu-alukan kemajuan dicapai dalam Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dengan harapan momentum positif yang ditunjukkan dapat terus dikekalkan.

Beliau juga yakin COC di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, dengan rundingan mengenainya menunjukkan momentum positif.

“Keamanan global dilihat semakin rapuh dengan begitu ketara, yang menuntut kita untuk menggandakan usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau kita terus terpelihara.

“Oleh itu, kita mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat atau mengancam keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan.

“Justeru, ASEAN menggesa semua pihak supaya menguruskan situasi di Laut China Selatan dengan kebijaksanaan dan penuh berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri ASEAN dengan China sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, lapor BH pada Khamis.

Yang turut hadir, Menteri Luar China, Wang Yi, yang mempengerusikan bersama persidangan itu dan Menteri-Menteri Luar ASEAN.

Wan Yi sebelum ini dilapor mengumumkan pencapaian penting bulan lalu apabila menyatakan bacaan ketiga COC yang sekian lama dinantikan selesai, sekali gus meningkatkan harapan bahawa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini dapat mempercepatkan rundingan yang berlarutan menjelang tarikh akhir pada 2026.

COC itu bertujuan mewujudkan asas kerjasama demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, menyaksikan China dan beberapa anggota ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina mempunyai pertikaian wilayah dan tuntutan bertindih.

Semua 10 negara ASEAN serta China bersetuju tentang keperluan untuk menghasilkan kod tatalaku, namun perbincangan untuk memuktamadkannya kekal mengundang cabaran.

Dalam pada itu, Mohamad berkata ASEAN turut mengalu-alukan kesediaaan China untuk menjadi Negara Senjata Nuklear (NWS) pertama yang menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.

Ia disifatkan satu langkah penting ke hadapan, yang menunjukkan kepemimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear, ketika kebimbangan global meningkat terhadap retorik senjata itu.

Dari segi kerjasama ekonomi, Mohamad berkata, ASEAN dan China terus menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain untuk tahun keempat berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah AS$770.94 bilion (RM3.28 trilion) pada 2024, peningkatan sebanyak 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak perlu terus berwaspada terhadap ancaman kepada sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan.

“Dalam konteks ini, pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang dijadualkan pada akhir tahun ini, datang tepat pada masanya, yang akan dapat memperkukuh kerjasama dan daya tahan ekonomi kita, dalam menghadapi masa yang mencabar ini dan seterusnya.

“Sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN dan China bagi terus memajukan perkongsian ini yang membawa manfaat kepada rakyat kita,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat