KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Malaysia sedang menyaksikan institusi-institusi utama negara dirosakkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan peribadinya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkara, isu kebebasan badan kehakiman telah menunjukkan perkembangan yang baik di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini. Namun ianya telah merosot di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Tegas Presiden Bersatu itu lagi, janji reformasi institusi tinggal janji sahaja yang tidak akan dilaksanakan. Malah institusi negara sedang dirobek dan kebebasan rakyat disekat semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri kekal berkuasa.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan kenyataan menolak kemungkinan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campurtangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri.
“Jabatan Peguam Negara juga menolak peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai badan yang wajar terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.
“Kenyataan ini mewakili pendirian rasmi kerajaaan. Ia adalah penolakan secara mentah-mentah terhadap desakan 9 Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri dari parti PKR yang menuntut kedua-dua perkara ini dilakukan bagi menjamin kebebasan badan kehakiman.
“Desakan mereka ini adalah selari dengan kebimbangan munasabah PN dan masyarakat sivil tentang kebebasan badan kehakiman ekoran Perdana Menteri sendiri sedang berhadapan dengan kes saman sivil di mahkamah berkaitan salah laku peribadi beliau.
“Dengan kata lain beliau sebagai Perdana Menteri yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara mempunyai konflik kepentingan dalam menjalankan kuasanya di bawah perlembagaan,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu dalam kenyataan pada Rabu.
Muhyiddin berkata, Perdana Menteri juga sedang memohon imuniti di mahkamah untuk mendapatkan kekebalan bagi dirinya daripada sebarang tindakan saman. Hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini yang melibatkan seorang Perdana Menteri.
“Konflik kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim-hakim adalah jelas.
“Saya tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri. Penubuhan RCI memerlukan keputusan Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri,” tegas bekas Perdana Menteri itu lagi.
Menurut beliau lagi, apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan mencengkam instusi negara dan menyekat kebebasan rakyat. Antara institusi yang dicengkam ialah badan kehakiman.
“Desakan Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan supaya langkah-langkah diambil untuk menjamin kebebasan badan kehakiman sudah pasti tidak akan didengar oleh Perdana Menteri.
“Sebaliknya saya khuatir lambat laun mereka akan menjadi mangsa tekanan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani yang mereka sendiri sokong. Mereka tidak akan berupaya untuk menghadapi tekanan ini kerana mereka tidak ada kuasa.
“Di negara-negara lain, Perdana Menteri yang berhadapan dengan situasi ini akan mengambil tanggungjawab moral untuk meletakkan jawatan. Anwar Ibrahim tidak akan mengambil tindakan yang bermoral ini.
“Satu-satunya kuasa yang ada pada Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan untuk mengubah keadaan ini ialah menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri di Parlimen. Ini adalah tanggungjawab moral mereka di Parlimen.
“Apabila Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan Persekutuan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan. Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, hilanglah mendung yang menyelubungi negara dan selamatlah negara ini.
“Inilah kuasa sebenar yang ada pada mereka,” kata beliau.
Tambah Muhyiddin lagi, kenyataan oleh sekumpulan peguam terkemuka baru-baru ini mengesahkan bahawa kebebasan badan kehakiman lebih terjamin di bawah beberapa kerajaan terdahulu termasuk PN.
Namun katanya, mereka berasa amat curiga dengan tahap kebebasan badan kehakiman di bawah kerajaan sekarang.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
“Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan.
“Isunya ialah siapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri. Selagi mana orang yang menjadi Perdana Menteri mempunyai masalah peribadi yang membabitkan badan kehakiman, selagi itulah badan kehakiman tidak bebas.
“Saya percaya terdapat Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang mula sedar bahawa pemimpin mereka berada di jalan yang salah. Mereka tidak lagi percaya kepada Perdana Menteri mereka.
“Saya percaya pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang membebankan seperti peluasan cukai SST, kenaikan tarif elektrik dan penghapusan pelbagai bentuk subsidi akan menyebabkan Perdana Menteri semakin tidak popular dan hilang sokongan rakyat,” kata Muhyiddin.