KUALA LUMPUR, – ARMADA BERSATU, hari ini menegaskan pendirian untuk terus berdiri teguh di belakang Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil menyifatkan usul kontroversi daripada BERSATU Bahagian Port Dickson sebagai cubaan mencari publisiti murahan.
Dalam kenyataan medianya, Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, berkata usul Bahagian Port Dickson yang mahu Tan Sri Muhyiddin memainkan peranan sebagai penasihat manakala Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengambil alih jawatan Presiden, langsung tidak mencerminkan suara akar umbi parti.
“Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden yang mendapat mandat penuh daripada seluruh ahli parti untuk mentadbir BERSATU sehingga tamat penggal. Sokongan terhadap beliau adalah tidak berbelah bahagi,” katanya.
Menurut Harris, ARMADA bertegas akan mempertahankan institusi Presiden daripada sebarang cubaan menggugat kestabilan parti, sama ada datang dari luar mahupun dalam parti sendiri.
Terdahulu, BERSATU Bahagian Port Dickson dilaporkan telah meluluskan usul mencadangkan rombakan kepimpinan tertinggi parti bagi memberi laluan kepada Hamzah sebagai Presiden, manakala Muhyiddin bertindak sebagai penasihat parti.
ARMADA menegaskan fokus parti kini adalah untuk terus memperkukuh sokongan rakyat dan memelihara perpaduan dalaman menjelang sebarang kemungkinan pilihan raya.