NADI Pulau Banggi Sabah Menang Anugerah Dunia di WSIS 2025

- Advertisement -

GENEVA, – Malaysia mencatat kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia diumumkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

Pengiktirafan ini sekaligus meletakkan Pulau Banggi, Sabah salah satu pulau paling terpencil di Malaysia di peta dunia sebagai simbol transformasi digital luar bandar.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil yang hadir menerima anugerah tersebut berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan MADANI dalam memperluas akses digital ke kawasan pedalaman kini mendapat pengiktirafan global.

“Projek Inklusif Digital NADI mencerminkan komitmen kerajaan bahawa tiada rakyat yang harus dipinggirkan dalam era digital. Ini bukan sekadar kejayaan Malaysia, tetapi kemenangan bagi komuniti Pulau Banggi dan seluruh rakyat yang percaya pada kuasa kemahiran digital,” ujar beliau.

NADI Malaysia di Pulau Banggi memenangi kategori C4: Capacity Building, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui International Telecommunication Union (ITU). Kategori ini mengiktiraf projek yang berjaya memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran dan latihan digital.

Kedudukan Pulau Banggi lebih 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan bot menjadikannya antara kawasan paling sukar dicapai di Malaysia. Namun melalui inisiatif NADI yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), penduduk pulau kini menikmati akses internet berkelajuan tinggi serta pelbagai program latihan ICT.

Projek ini telah mengubah kehidupan penduduk secara menyeluruh. Golongan belia mula mahir dalam kemahiran digital dan boleh bersaing dalam ekonomi gig. Ramai wanita kini menjalankan perniagaan atas talian, manakala usahawan tempatan berjaya meluaskan pasaran produk mereka ke luar pulau.

Kejayaan NADI di Pulau Banggi dijadikan sebagai model nasional yang akan diperluas ke kawasan pedalaman lain, termasuk Pulau Mandi Darah serta komuniti di Sabah dan Sarawak, menjelang tahun 2035. Projek ini bakal disokong oleh modul latihan berskala, pembiayaan jangka panjang dan pembinaan lebih banyak hab digital komuniti.

Lebih manis, Malaysia turut merangkul satu lagi kemenangan antarabangsa apabila Projek Stingray II Pulau Ketam diumumkan sebagai juara bagi kategori C2: Information and Communication Infrastructure. Projek ini melibatkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer dari Kapar ke Pulau Ketam, membolehkan pelajar mengakses pembelajaran dalam talian, penduduk menggunakan perkhidmatan teleperubatan dan perniagaan kecil berkembang secara digital.

Kejayaan ini adalah ‘groundbreaking’ membuktikan bahawa negara membangun seperti Malaysia juga mampu menjadi peneraju global dalam kesaksamaan digital.

Dalam landskap dunia yang semakin berasaskan teknologi, usaha Malaysia membawa internet dan kemahiran digital ke kawasan terpencil diiktiraf bukan sahaja sebagai pencapaian teknologi, tetapi juga sebagai satu inisiatif kemanusiaan.

Dengan kemenangan ini, Malaysia menghantar mesej jelas ke peringkat antarabangsa bahawa transformasi digital bukan hanya milik negara maju.

Di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, rakyat Malaysia dari pelosok kampung ke pulau terpencil kini mampu berdiri setaraf dalam dunia digital.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat