KUALA LUMPUR – Perjuangan Umno bukan tentang individu sebaliknya gerakan satu keluarga besar dalam parti Melayu itu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jika Umno terus berpecah, saling salah-menyalahkan, dan hanya mementingkan diri, sampai bila-bila pun tidak akan bangkit.
“Saya tegaskan ini dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lumut petang semalam. Jika kita terus berpecah, saling salah-menyalahkan, dan hanya mementingkan diri, sampai bila-bila pun kita tidak akan bangkit.
“Kita perlu kembali bersatu. Bukan sekadar bersatu di mulut, tetapi bersatu dalam hati, dalam tindakan, dan dalam gerak kerja kita. Buat kerja secara berpasukan.
“Saya percaya, selagi hati kita ikhlas, Allah akan bersama perjuangan kita. Umno Lumut akan terus cekal, kuat dan berdaya saing. Kita belum kalah selagi kita tidak menyerah,” katanya.
Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi mengemukakan saran agar setiap gerak kerja dirancang secara strategik.
“Tambah keahlian di peringkat akar umbi. Mantapkan cawangan, hidupkan semangat perjuangan di kampung-kampung, taman-taman dan seluruh pelusuk Lumut.
“Kepada Pemuda dan Puteri terus dekati anak muda dengan cara mereka, jangan terlalu mengikut cara lama. Dunia mereka berubah, cara kita mendekati mereka juga mesti berubah.
“Kepada Wanita, teruskan mendekati masyarakat, santuni mereka dengan penuh keikhlasan. Program tidak perlu gah dan besar, yang penting sampai ke hati rakyat.
“Kita mahu Lumut bangkit semula. Bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada perjuangan Umno. Kita mahu mencipta lebih banyak kejayaan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.