KUALA LUMPUR – Seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor dikenal pasti mempunyai tanda-tanda awal kategori berisiko tinggi mengalami masalah kemurungan, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, jumlah itu mewakili 2.8 peratus daripada 36,428 pelajar yang telah menjalani saringan kaji selidik kesihatan pesakit (PHQ).
Berdasarkan Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Selangor, beliau berkata, peratusan itu menunjukkan tingkah laku psikososial negatif dalam kalangan murid di negeri ini terkawal.
“Program intervensi akan terus dilaksanakan dan diperluas secara menyeluruh ke sekolah rendah, khususnya melibatkan murid Tahun 5 dan 6. Hasrat utama intervensi minda sihat adalah memupuk kesedaran awal tentang kepentingan kesihatan mental serta membina daya tahan murid.
“Fokus intervensi kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal, latihan pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah melalui bengkel kemahiran intervensi minda sihat.
“Antara intervensi umum dan amalan gaya hidup sihat yang dijalankan adalah sesi bimbingan, teknik relaksasi, latihan pernafasan, senaman dan urutan bahu serta leher.”
Katanya pada sidang DUN Selangor di Shah Alam menjawab soalan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang ingin tahu apakah langkah segera diambil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi menangani isu kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar sesi 2024/2025.
Jamaliah berkata, selain program intervensi, JPN Selangor turut melaksanakan Program Minda Sihat dan intervensi khusus antaranya sesi kaunseling, kenali emosi, kemahiran gaya daya tindak, tangani stress 10B, teknik pernafasan, mindfulness, kawal marah, penyelesaian masalah, berfikiran positif dan komunikasi berkesan.
“Langkah ini diambil sebagai usaha pencegahan awal dan memperkukuhkan kesejahteraan mental murid dari peringkat asas bermula daripada sekolah rendah,” lapor Bernama.