PM digesa pulang segera beri penjelasan pencabulan institusi kehakiman – Pas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan Parlimen, desak Pas.

Menurut Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari , ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan kerana ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita.

“Rakyat wajib memandang serius pendedahan yang dibuat oleh sekumpulan Ahli Parlimen PKR hari ini berhubung dakwaan pencabulan institusi kehakiman negara.

“Dakwaan-dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala, prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan, dan campur tangan dalam kes kehakiman — adalah dakwaan yang sangat berat dan tidak boleh dipandang remeh,” tegas beliau.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, kerajaan digesa agar bertindak segera dan telus terhadap segala dakwaan ini.

“Institusi kehakiman adalah salah satu cabang utama pentadbiran negara. Apabila cabang ini dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, maka runtuhlah prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi.

“Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator.

“Dengan penuh takzim dan hormat kita juga menzahirkan sembah ampun perkenan memohon Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar meneliti dan mempertimbangkan untuk mengambil langkah sewajarnya demi menjamin kemuliaan dan kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara daripada sebarang pencabulan serta campur tangan pihak eksekutif.

“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini,” kata Fadhli.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat