PUCHONG, – Sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak kerajaan Persekutuan untuk segera mengambil tindakan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai kemelut paling serius dalam institusi kehakiman negara sejak skandal video VK Lingam pada tahun 2007.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh sembilan wakil rakyat termasuk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, mereka menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan berlegar berkaitan pelantikan dan campur tangan dalam urusan kehakiman.
Menurut mereka, isu ini bukan sekadar melibatkan kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang kini kosong, tetapi juga membabitkan tuduhan lebih serius – termasuk dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk menjelaskan tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes dan pertukaran hakim.
“Maklumat-maklumat ini akan terus mengundang pelbagai spekulasi yang boleh mencemarkan kredibiliti kerajaan dan melunturkan keyakinan rakyat kepada kebebasan institusi kehakiman di masa akan datang,” tegas mereka.
Antara kebimbangan yang dinyatakan adalah kegagalan kerajaan bertindak atas pencalonan-pencalonan yang dikemukakan oleh JAC sejak sebelum persaraan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Mereka turut menyatakan bahawa mesyuarat tergempar JAC pada Jumaat lalu diadakan tanpa mematuhi notis 10 hari seperti yang ditetapkan seolah-olah ingin memulakan semula proses pencalonan tanpa menjelaskan apa yang telah berlaku sebelum ini.
Tambah membimbangkan, kenyataan tersebut turut mengaitkan krisis ini dengan sejarah lalu. Mereka mendedahkan bahawa hakim yang kini terpalit dalam dakwaan mempengaruhi keputusan kes pernah menjadi pegawai khas kepada Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bekas Ketua Hakim Negara yang menjadi watak utama dalam skandal VK Lingam.
Menyifatkan keadaan ini sebagai satu pencemaran besar terhadap prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman, sembilan ahli Parlimen itu turut menyatakan komitmen untuk memohon siasatan rasmi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Reformasi Institusi, serta memanggil Perdana Menteri sendiri untuk memberi penjelasan di hadapan Parlimen.
Selain usaha di peringkat institusi, mereka juga merancang satu kempen penerangan kepada rakyat, termasuk forum awam yang akan bermula di Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Julai ini serta petisyen dalam talian yang akan dilancarkan bagi mengumpul sokongan orang ramai.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia memberi perhatian kepada isu ini yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara di masa hadapan, walaupun ia mungkin dilihat remeh di celah-celah pelbagai isu lain,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S. Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).-SUARA.TV